Monday, 12 July 2010
KUALA SELANGOR 12 Julai – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kesal dengan sikap kerajaan Selangor yang dikatakan tidak memberi sokongan kepada persatuan dan pertubuhan belia di negeri itu melaksanakan aktiviti mereka.
Beliau berkata, pihaknya mendapat banyak aduan daripada persatuan belia bahawa mereka mengalami kesukaran untuk menyewa kemudahan seperti bangunan dan dewan dan turut dikenakan sewa yang lebih tinggi berbanding ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah negeri itu.
“Mereka (kerajaan negeri) tidak boleh diskriminasi kerana bukan mereka yang bina kemudahan itu…sekarang dia rasa dia ada kuasa dan tidak memberi kemudahan kepada persatuan belia dengan mengenakan caj lebih mahal.
“Kerajaan Persekutuan dah buat stadium baru, padang baru tetapi kita tidak nampak mereka buat perkara yang sama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Hari Belia Selangor dan melancarkan Kempen 1Belia 1Malaysia di sini malam tadi.
Sehubungan itu, Ahmad Shabery berkata, kementerian akan mengumpul maklumat untuk mencari aternatif lain bagi membolehkan persatuan belia di negeri itu menjalankan program mereka tanpa kekangan daripada kerajaan Selangor. – Bernama