Kerja kesukarelaan tuntut komitmen padu
Minggu lalu penulis berkesempatan menyertai program ‘Run for Food’, iaitu program kesukarelaan menyedia dan mengagihkan makanan kepada golongan gelandangan di tengah bandar raya Kuala Lumpur. Penulis mendapat jemputan menerusi laman Facebook Mohd Rizan Hassan, Ketua Sekretariat 1 Belia 1 Kemahiran (1B1K), Biro Kemasyarakatan dan Rakan Muda Majlis Belia Malaysia (MBM).
Beliau ialah Pengerusi Malaysian Young Humanitarian yang juga pemenang Anugerah Tokoh Belia Negara, Kementerian Belia dan Sukan bagi 2011. Difahamkan program ini sebenarnya diasaskan sekumpulan sukarelawan warga kota yang diketuai Datin Suriani.
Ada pertanyaan seorang rakan penulis yang mempersoalkan mengapakah amat sukar bagi sesetengah rakyat kita sendiri untuk mencari makan dan ‘survive’ di Kuala Lumpur, sedangkan bagi sesetengah warga asing masih boleh hidup dan bekerja. Mereka juga datang sendirian ke kota raya kita”
Mereka memilih pekarangan Masjid Jamek Kuala Lumpur sebagai lokasi untuk berkumpul dan memulakan kerja memasak dan membungkus makanan. Buat masa ini, Isnin dan Khamis dipilih sebagai hari aktiviti yang bermula jam 11.30 malam dan berakhir kira-kira jam 3 pagi bergantung kepada jumlah bungkusan makanan serta tenaga sukarelawan yang terbabit.
Menariknya, sebahagian besar sukarelawan ini tidak mengenali antara satu sama lain dan bertemu hanya dalam ‘laman muka buku’ dengan nama panggilan yang pelbagai. Hanya sekumpulan kecil sukarelawan yang pernah bertemu dan bertugas sebagai sekretariat program.
Menurut Mohd Rizan, tempoh tiga hari beliau gunakan untuk menghebahkan program itu melalui laman Facebook dan hasilnya ialah kehadiran seramai 78 orang tenaga sukarelawan pelbagai kaum.
Kebanyakan yang terbabit ialah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta kolej yang kebetulannya sedang bercuti semester. Amat menggembirakan apabila anak muda ini datang atas niat membantu golongan gelandangan tanpa membezakan latar belakang kerjaya, akademik serta kaum masing-masing.
Melalui perbualan dalam tempoh empat jam, penulis dapat mengenali sukarelawan ini antaranya bekerja sebagai pengurus hotel terkenal, pegawai muda IPT swasta, penjual burger, mahasiswa dari dalam dan luar negara.
Tempoh cuti semester akhir yang kini diselaraskan membolehkan seorang mahasiswa universiti dari Manchester dan empat orang dari universiti Ireland turut sama dalam program murni ini. Sesungguhnya keputusan menyeragamkan tempoh cuti semester di setiap IPT agar sama dengan IPT di luar negara adalah keputusan tepat bagi memastikan mahasiswa dapat meningkatkan pembabitan pembelajaran yang bersifat formal dan tidak formal dalam masa sama.
Mendekatkan anak muda ini dalam program membantu golongan gelandangan bukanlah sekadar bertujuan menggunakan tenaga muda secara percuma.
Sebelum tugas pengagihan dimulakan, sukarelawan diberikan taklimat oleh Puan Ann yang bertindak selaku penyelaras kepada gerak kerja ini.
Ada sesi perkongsian pengalaman yang meruntun hati apabila kami diperkenalkan dengan Abang Ali (bukan nama sebenar) berusia 51 tahun yang kini disahkan positif AIDS dan HIV. Kini beliau terbuang daripada keluarganya. Abang Ali masih boleh bertahan daripada penyakit maut ini kerana berdisiplin untuk menghadiri sesi pemeriksaan dan bimbingan di Hospital Sungai Buloh secara berkala.
Menurut Abang Ali semua rakan yang dulu terbabit dengan kehidupan bebas sepertinya dan akhirnya dijangkiti kuman maut itu sudah pergi meninggalkan alam fana ini. Pastinya setiap sukarelawan yang hadir akan mengingati kata-kata dan pesanan Abang Ali kepada mereka: “Jangan sesiakan hidup, hargailah masa muda, jangan hisap dadah dan kongsi jarum, jangan pula cuba-cuba seks bebas. Inilah derita yang saya terpaksa tanggung hingga akhir hayat. Namun janganlah pula kamu menghina orang seperti saya kerana saya juga ada perasaan.”
Ada pertanyaan seorang rakan penulis yang mempersoalkan mengapakah amat sukar bagi sesetengah rakyat kita sendiri untuk mencari makan dan ‘survive’ di Kuala Lumpur, sedangkan bagi sesetengah warga asing masih boleh hidup dan bekerja. Mereka juga datang sendirian ke kota raya kita.
Kesimpulan awal penulis ialah aspek ketabahan dan semangat ikatan nasib sesama negara. Diukur dari segi ketabahan dan ketahanan, umum akan mempersetujui bahawa buruh dari Indonesia dan Bangladesh (sekadar menyebut dua contoh negara yang paling ramai warga negaranya berhijrah dan bekerja di sini) adalah lebih tabah untuk bekerja dalam sektor yang disifatkan berat dan berbahaya dengan imbuhan gaji yang relatif lebih rendah berbanding warga negara Malaysia sendiri.
Dengan sendirinya kebanyakan majikan memilih tenaga asing kerana memenuhi dua kriteria penting demi meminimumkan kos pengeluaran dan operasi syarikat. Pada masa sama, warga asing di negara kita mampu bertahan kerana adanya ikatan yang kukuh dalam kalangan mereka untuk saling tolong-menolong di tempat orang.
Penulis ialah Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Last Updated ( Thursday, 02 August 2012 20:41 )