KUALA LUMPUR 25 April – “Tahun 1798, seorang pelayar Rusia, Ivan Krusentern pernah tiba di semenanjung Tanah Melayu dan melihat sendiri kekayaan budaya, ekonomi dan keramahan masyarakatnya.
Berbekalkan keterujaan itu, telah menjentik beliau membawa pulang manuskrip Sulalatus Salatin yang telah diterjemahkan ke bahasa Rusia bagi memperkenalkan Tanah Melayu kepada negaranya.
Hubungan Malaysia-Rusia telah lama terbina dan kini dieratkan dengan usaha Majlis Belia Malaysia (MBM) yang giat menjambatani program belia kedua-dua negara sejak beberapa tahun ini”.
Ini antara ucapan YB Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri, Kementerian Belia dan Sukan ketika hadir ke program ‘Get-together Meeting with the Malaysian Youth Council’ bersama Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia, TYT Naiyl M. Latypov.
Majlis ini merupakan ‘World Youth Festival (WYF) post program’ yang dihadiri seramai 62 orang belia Malaysia pada 1 hingga 7 Mac 2024 di Sochi, Rusia.
Terima kasih Kedutaan Rusia di Kuala Lumpur yang telah sudi menerima delegasi MBM bagi bersama-sama berkongsi pengalaman selama dua minggu di bumi Rusia.
Komitmen MBM adalah untuk memastikan hubungan yang telah lama terbina ini akan dieratkan dengan banyak lagi penyertaan belia kedua-dua buah negara dalam program yang mendatang.
Turut berada di dalam sesi makan malam dan perkongsian ini Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid; Naib Presiden MBM, Sdr. Mohamed Khairul Azman; Datuk Syed Osman Mohamed; Bendahari Kehormat MBM, Sdr. Mohd Izham Ahmad; Penolong Ketua Penerangan MBM, Sdr. Syafiq Ridzwan Jamaluddin; Exco MBM Sdri. Asya Rahman; Sdri. Jessy Ng dan peserta-peserta program WYF lain.













































