KUALA LUMPUR 14 April – “Menggerak Belia” dipilih sebagai tema rasmi Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 yang bakal berlangsung dari 15 hingga 17 Mei di Sendayan, Negeri Sembilan.
Pra peluncuran sambutan peringkat kebangsaan telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohamad Taufiq Johari di Stadium Nasional Bukit Jalil, menandakan komitmen berterusan dalam memperkasa peranan belia sebagai pemacu masa depan negara.
Tema “Menggerak Belia” menekankan usaha memperkukuh kepimpinan generasi muda, mengangkat potensi mereka serta mempersiapkan belia menghadapi cabaran masa hadapan.
Penganjuran ini bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme, malah memperkukuh perpaduan nasional di samping membuka ruang kepada belia menyuarakan aspirasi ke arah pembangunan modal insan yang holistik dan inklusif.
Memasuki edisi ke-62 sejak diperkenalkan pada tahun 1964, HBN kekal sebagai platform penting dalam menghargai sumbangan belia terhadap pembangunan negara.
Kementerian Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) terus memainkan peranan sebagai penggerak utama dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk Kembara Jalur HBN 2026 dan Inisiatif Sokongan Suara Belia (SSB) di seluruh negara.
Sambutan kali ini akan menampilkan lima segmen utama iaitu penciptaan dan peluang pekerjaan; kepimpinan, kesukarelawanan dan pengantarabangsaan; Malaysia aktif; inovasi dan digital; serta kebudayaan, kesenian dan muzik.
Kemuncak sambutan bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Mei nanti.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Mordi Bimol, pengurusan tertinggi kementerian serta Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Khairul Azman Azeez serta wakil-wakil pertubuhan belia.























