INDEKS Kualiti Hidup Malaysia (IKHM) 2004 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri menunjukkan bahawa dalam tempoh 13 tahun, negara ini berjaya meningkatkan kualiti hidup rakyat secara berterusan.
Laporan itu menyatakan bahawa kejayaan Malaysia mencapai peningkatan kualiti hidup secara berterusan adalah hasil Rancangan Jangka Panjang Kedua bermula 1991 hingga 2000 dan dua tahun pertama Rangka Jangka Panjang Ketiga iaitu 2001 hingga 2010.
Sesungguhnya kita amat bersyukur kerana di kala negara melalui pelbagai cabaran, namun masih lagi mencapai indeks kualiti hidup yang memberangsangkan. Buktinya hingga sekarang negara kita menjadi pusat tumpuan pencari kerja khasnya oleh rakyat negara luar yang sedang membangun. Tiada sesiapa pun yang boleh menyangkal bahawa negara kita sudah mencapai suatu tahap pembangunan mengagumkan sehingga ia mampu mendorong begitu ramai warga asing untuk datang bekerja sama ada secara halal atau haram. Tidak keterlaluan jika bagi sesetengah warga asing menganggap Malaysia sebagai syurga yang menjanjikan kesenangan hidup buat mereka.
Apa tidaknya, terlalu banyak kerja yang menanti khasnya di sektor pembinaan dan pertanian di mana rakyat Malaysia khasnya golongan muda kurang berminat membabitkan diri dalam bidang berkenaan. Ini belum lagi dengan segala bentuk subsidi yang disediakan kerajaan yang turut dinikmati warga negara asing ini.
Sebagai contoh, setiap satu kilogram gula yang kerajaan berikan subsidi sebanyak 80 sen sepatutnya dinikmati warga negara Malaysia yang berpendapatan rendah. Namun, yang berlaku ia dinikmati semua orang tanpa mengambil kira taraf kewarganegaraan, latar belakang ekonomi dan kekayaan. Namun, sebagai pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penulis berasakan masih ada yang tidak kena dengan masyarakat kita. Dalam sesetengah keadaan, kepesatan pembangunan negara tidak datang seiring dengan peningkatan terhadap pegangan nilai serta akar budaya masyarakat kita.
Lihat saja kebergantungan anak-anak muda kita pada teknologi komunikasi maklumat (ICT). Pada asasnya teknologi ICT sememangnya mampu memudahkan kehidupan manusia. Namun, tanpa kita sedari ia mengikis ketahanan serta ketabahan rakyat kita. Sebagai contoh, sewaktu belajar di USM sekitar 1994 hingga 1998, penulis dan rakan-rakan masih belum diperkenalkan dengan penggunaan telefon bimbit. Kalau ada pun hanyalah ATUR 450 yang mana harganya amat mahal. Pada masa itu cara perhubungan adalah dengan mengutus surat dan memo. Mahasiswa pada masa itu terpaksa berbuat baik dengan semua penghuni asrama kerana mereka amat diperlukan untuk mengutus memo kepada rakan yang berlainan jantina. Konsepnya ‘saya tolong awak sekarang, dan esok pula awak akan tolong saya’. Kesannya, semua penghuni asrama akan sentiasa bersifat tolong-menolong, ringan tulang dan bertolak ansur. Namun, ia cukup berbeza dengan situasi sekarang. Kemudahan telefon bimbit sememangnya memudahkan komunikasi tetapi pada masa sama menjadikan masyarakat kita lebih pendiam dan kurang mesra. Lihat saja penumpang LRT di Kuala Lumpur. Masa kosong diisi dengan menatap isi kandungan data atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS). Anak mata yang bertaut hanya sekadar pandangan kosong. Sifat mesra dan sapaan hanya dianggap penyibuk atau cubaan mengurat. Ini belum lagi insiden sekumpulan ahli keluarga di meja makan. Hanya ayah dan ibu yang sibuk berceloteh sedangkan anak teruna dan anak dara menerawang jauh hanyut dengan bait-bait SMS kepada buah hati masing-masing.
Lihat pula pada kempen selamatkan bumi ‘Earth Hour’. Penulis sempat merasai suasana tiada kemudahan elektrik di kampung pada akhir 1970-an hingga 1982. Saat itu, lampu gasolin adalah barang mewah yang hanya digunakan setiap kali ada kenduri-kendara. Selainnya kami akan menggunakan pelita minyak tanah. Hebatnya saat itu, kakak serta abang penulis tidak pernah mengeluh dan tetap mengulang kaji pelajaran dengan kemudahan yang sangat terhad. Kehadiran kemudahan elektrik pada awal 1982 adalah nikmat yang tidak terhingga. Kini, manusia mencari kepuasan dan ketakjuban melalui kempen ‘Earth Hour’. Pada tarikh kempen itu, individu atau kumpulan yang sanggup bergelap selama sejam akan dilihat sebagai pejuang alam sekitar. Budaya bergotong-royong yang sebelum ini menjadi kemestian kepada setiap orang juga kini dianggap perbuatan istimewa. Pelaku gotong-royong dianggap adiwira pujaan yang sanggup berkhidmat dan membantu pihak lain. Kebergantungan kepada ICT juga lama-kelamaan menjerat kita bagi tempoh jangka panjang. Bagi orang muda, gaya dan identiti diri harus ditandai dengan jenis serta bilangan gajet yang dimiliki. Tidak menghairankan kini anak-anak di sekolah rendah memiliki telefon bimbit BlackBerry atau Samsung Notes.
Namun, tanpa disedari ia mencipta pertambahan penggunaan tenaga elektrik dan kos bayaran bil. Jika di restoran nasi kandar, penggunaan soket untuk mengecas telefon dikenakan RM1 bagi tempoh sejam. Kadar sebegini dianggap munasabah kerana kepentingan telefon bimbit sebagai alat perhubungan.
Bagi yang bekerja ‘outstation’, mereka perlu bersedia dengan pelbagai peranti elektrik bagi memastikan alat-alat seperti telefon bimbit, bateri kamera dan komputer riba dapat dicas serentak sebaik tiba di bilik penginapan. Inilah yang dikatakan teknologi semakin canggih tetapi kehidupan semakin sukar dan mahal. Orang akan berkeluh-kesah sekiranya semua kemudahan ini tiba-tiba hilang.
Anak-anak muda kita pasti akan panik dan histeria jika semua kemudahan tadi ditarik balik bagi tempoh tertentu. Di sinilah timbul persoalan sejauh manakah kita bahagia dan sejahtera? Adakah kita bersedia apabila tiba saatnya kita akan kehabisan sumber tenaga seterusnya akan kembali bergelap seperti suatu masa dulu? Sekiranya ditakdirkan hal sedemikian berlaku, penulis amat yakin bahawa sahabat kita yang tinggal di perkampungan Orang Asli dan pinggir desa akan lebih tenang dan kuat menghadapi cabaran mendatang. Ia disebabkan golongan ini sudah terbiasa dengan kehidupan yang sangat asas dan minimum. Adalah amat penting untuk kita membina ketabahan dan ketahanan dalam kalangan anak muda kita. Pertubuhan belia yang berjumlah lebih 8,000 di seluruh negara harus dimanfaatkan sebagai tempat untuk belia mempertingkatkan jati diri dan akar budayanya. Akan tiba saatnya nanti apabila kehidupan ini tiba pada kitaran asalnya.
Kehidupan yang dekat dengan alam semula jadi akan menjadi pilihan tetapi perlu dibayar dengan kos yang jauh lebih tinggi. Nilai kehidupan lama dikembalikan seperti perkhidmatan inap desa (homestay) sekali gus menjadi perkhidmatan yang menarik perhatian dan mampu menjana pendapatan baik.
Langkah kerajaan memberikan tumpuan kepada pembangunan teknologi hijau dan tenaga yang dikitarkan semula adalah langkah perlu demi memastikan kelangsungan hidup kita di masa hadapan. Erti dan makna kebahagiaan masyarakat tidak boleh diukur pada tahap pendapatan bulanannya. Sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh termasuk hubungan sosial, keselamatan persekitarannya dan kesihatan tubuh badan. Hakikatnya, selagi manusia berpegang pada kehidupan beragama dan mementingkan kesederhanaan, ia adalah jaminan kebahagiaan hakiki.
Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM