Oleh:
JUFITRI JOHA
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)
Semalam 16 Jun 2020, seramai 5 tokoh politik senior mengangkat sumpah jawatan senator di Dewan Negara. Namun sedikit mengecewakan apabila tokoh-tokoh politik senior tersebut tidak diimbangi dengan perlantikan tokoh-tokoh politik anak muda berpengalaman. Saya yakin sekurang-kurangnya jika seorang tokoh belia pun yang dilantik daripada 5 kekosongan untuk batch ini semalam sudah memadai dan mengubati hasrat dan aspirasi belia untuk melihat lebih ramai beliamengimbangi golongan senior di Dewan Negara.
Saya yakin Bersatu, Umno, PAS, GPS dan beberapa parti yang bergabung di bawah Perikatan Nasional (PN) tidak ketandusan tokoh-tokoh pemuda profesional dan berpengalaman. Saya kenal ramai dalam kalangan pemuda mereka yang berkaliber dan berpengalaman. Saya yakin tokoh muda yang lebih segar seperti Shahril Hamdan Naib Ketua Pemuda UMNO dan Ir.Khairil Nizam Ketua Pemuda PAS layak mengisi kuota tersebut atau paling kurang pada lantikan seterusnya. Armada masih dalam mode perang pemilihan dan terbelah dua, saya masih belum mampu menamakan sesiapa khuatir dikatakan memihak kem-kem tertentu. Memang kita ada Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang kemudian dilantik ke jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan namun ia masih tidak memadai untuk memberikan refleksi positif kepada komposisi populasi belia di Malaysia yang berjumlah sekitar 14.7 juta. Sementelah Kabinet PN jika diteliti hanya mempunyai 3 wakil belia iaitu YB Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Ekonomi dan YB Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan selain YB Senator Wan Fayhsal. Ini sudah tentu tidak memadai.
Di Dewan Rakyat kita hanya ada sekitar lebih kurang 28-29 ahli parlimen muda termasuk YB Vivian Wong, Ahli Parlimen Sandakan yang menang dalam pilihanraya kecil (PRK) tahun lepas. Saya difahamkan takrifan umur ahli parlimen muda adalah mereka yang di bawah umur 45 tahun menurut The World Bank. Mungkin ada ramai calon belia yang bertanding dalam pilihanraya umum (PRU) lepas tetapi tidak menang. Majlis Belia Malaysia (MBM) mahu lihat lebih ramai belia diberikan peluang dan ruang dalam PRU akan datang oleh parti-parti yang bertanding. Sekurang-kurangnya MBM ingin melihat 80 ahli parlimen muda dalam Parlimen sesi depan bersesuaian dengan 40% jumlah populasi belia di Malaysia. United Nations (UN) telah mengadaptasi kempen Not Too Young To Run (NTYTR) yang berasal daripada Afrika bagi menggalakkan penyertaan perwakilan belia dalam platform utama pembuatan dasar negara. MBM turut menggerakkan kempen NTYTR pada PRU yang lepas.
Di Dewan Negara pula sekarang melalui pemerhatian saya, kita hanya ada sekurang-kurangnya 6 ahli Dewan Negara di bawah umur 45 tahun. Kita ada Senator Alan Ling (37 tahun – DAP), Senator Adrian Lasimbang (42 Tahun – DAP), Senator Liew Chin Tong (43 Tahun – DAP), Senator Khairul Azwan Dato’ Ir Haji Harun (44 tahun – UMNO), Senator Wan Ahmad Fayhsal (33 tahun – BERSATU) dan Senator Yusmadi Yusoff (45 Tahun – PKR). Artikel 47 (a) Perlembagaan Malaysia jelas mensyaratkan kelayakan ahli Dewan Negara mesti tidak kurang daripada 30 tahun. Terdapat juga usaha kelompok belia seperti gerakan #Undi18 dan #Senate18 yang memperjuangkan untuk merendahkan had umur senator kepada 18 tahun selaras dengan penurunan had umur mengundi dan bertanding kepada 18 tahun pada tahun lepas. Perkara ini masih terbuka untuk diperdebatkan memandangkan Dewan Negara dikonsepkan untuk tokoh-tokoh berpengalaman di bidang masing-masing sebagai semak dan imbang kepada Dewan Negara selaras dengan Artikel 45 (2) Perlembagaan Malaysia. Mungkin di kesempatan lain saya akan menulis tentang perkara ini.
Saya sendiri berpandangan keutamaan sekarang ialah memperbanyakkan senator-senator dalam kalangan umur 30-45 tahun bagi mewakili idea dan suara yang lebih segar kepada Dewan Negara selaras dengan agenda Kaukus Reformasi Dewan Negara yang diterajui Senator Yusmadi. Ia juga selaras dengan pindaan had umur belia Akta 668 (2019) yang mendefinisikan semula belia kepada 15-30 tahun sekaligus memberikan lonjakkan segera kepada kelompok umur 30-40 tahun untuk berada di arus perdana termasuk di Dewan Negara. Bak kata orang Penang, “hangpa suruh kami kosongkan di bawah tapi hangpa tak kosongkan di atas, jadi lagu mana kami nak naik mengisi di atas?”.
Kita juga tidak menafikan pada masa depan keperluan untuk senator dalam kalangan kelompok umur 20-30 tahun namun ia harus bersesuaian dengan konsep dan fungsi Dewan Negara. Saya yakin Kerajaan boleh mempertimbangkan lebih ramai senator di kelompok umur 30-45 tahun yang berpengalaman dan berkredibilti berdasarkan merit. Jika kita ada sekitar 70 jawatan senator, sekurang-kurangnya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sekali-sekala menghantar calon muda ke Dewan Negara. Mungkin kita perlukan sekurang-kurangnya 20 senator muda bagi mengimbangi senator-senator senior. Saya fikir angka ini atau mewakili 29% munasabah berbanding keseluruhan jawatan senator.
MBM sendiri secara konsisten dan spesifik semenjak dulu memperjuangkan sekurang-kurangnya seorang senator mewakili pergerakan belia bagi menjadi semak dan imbang kepada Menteri Belia dan Sukan dan polisi pembangunan belia di dewan. Dalam konteks semasa wajar kita tambah 2 sehingga 3 wakil belia. Kita hampir mempunyai senator khusus mewakili belia tahun lepas sebagaimana yang diumumkan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam sambutan Hari Belia Negara 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) namun ia masih belum terealisasi. Mantan Menteri Belia YB Syed Saddiq juga antara yang lantang memperjuangkan isu ini dan isu perwakilan belia dalam pembuatan keputusan dan polisi di semua peringkat termasuk GLC.
Kita tidak pernah menafikan keperluan senator-senator dalam kalangan 45 tahun ke atas bahkan kita memerlukan mereka kerana pengalaman, buah idea dan hikmah untuk membangunkan negara cuma kita perlu perimbangan kelompok umur. Untuk membina Negara kita perlukan gabungan, formulasi dan kombinasi mantap antara golongan tua dan muda tidak terkecuali Dewan Negara. Ia juga bersesuaian dengan konsep kerja belia profesional seperti yang termaktub dalam Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015-2035 di mana kombinasi tua dan muda penting untuk membangunkan belia dan Negara. Kedua-dua kelompok sama penting dan ada peranan masing-masing.
Stockemer dan Sundstrom (2018) dalam satu artikel kajian ilmiah bertajuk “Age representation in parliaments: Can institutions pave the way for the young” memberikan hujahan dan tujahan menarik tentang keperluan perwakilan belia dalam parlimen. Mereka berdua berpendapat kelompok belia wajar diwakili di dalam parlimen berdasarkan hujah normatif mahupun hujah daripada perspektif polisi. Apabila berhadapan dengan pembuatan dasar dan polisi setiap kelompok umur mempunyai pandangan dan keperluan berbeza terhadap sesuatu dasar dan polisi. Hujahan yang kedua iaitu kelompok tertentu di dalam masyarakat kurang berkemampuan untuk mewakili keperluan kelompok lain. Hanya kelompok belia benar-benar ‘expert’ memahami keperluan kelompok mereka sendiri namun kelompok belia dianggap ‘excluded majority’ yang kurang diwakili dalam proses legislatif.
Stockemer dan Sundstrom juga mendedahkan kelompok umur 35 tahun hanya diwakili purata 10% sahaja (2017) dalam arena legislatif di seluruh dunia sedangkan jumlah penduduk kelompok umur 18-35 tahun lebih tiga kali ganda besar daripada penduduk kelompok umur 60 tahun ke atas (Sumber : United Nations, Department of Economic and Social Affairs, Population Division 2015). Justeru topik dan agenda perwakilan belia ini memerlukan perhatian serius dan dalam konteks Malaysia ia memerlukan perhatian pihak Kerajaan dan desakan berterusan oleh pertubuhan masyarakat madani seperti MBM yang mewakili kepentingan kelompok belia.
Kelompok belia merupakan kelompok pengundi terbesar bahkan bakal menjadi ‘king maker pada PRU ke-15 maka wajarlah mereka diwakili oleh lebih ramai belia yang memahami aspirasi kelompok mereka sendiri. Berilah mereka peluang dan ruang jika tidak kita akan menjangkakan kemeruduman yang lebih teruk untuk skor Domain Sosialisasi Politik Indeks Belia Malaysia (IBM).
Wahai para senior (terutamanya yang dah banyak kali merasa) kasi chancelah!
Bertarikh : 17 Jun 2020