Oleh: JUFITRI JOHA
Naib Presiden MBM
Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang II Penggal ke-30 Tahun 2015-2016 yang berlangsung pada 25 November 2015 lepas di PWTC merupakan sidang MPBN versi lama yang terakhir berlangsung sebelum versi baru yang lebih transformatif dan berkesan dilaksanakan.
MPBN merupakan badan perundingan tertinggi belia Negara. Inilah platform formal dan terbaik untuk pemimpin belia berbincang, berunding, berdebat dan tawar menawar dengan pihak Kerajaan dan agensinya berkaitan dengan pembangunan belia. Inilah yang termaktub dalam Artikel 3 Perlembagaan MPBN dan dikuasakan melalui Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668, Seksyen 35-48) menjamin fungsi utamanya. Namun kita harus bersetuju dengan Menteri Belia Y.B. Khairy Jamaluddin bahawa MBPN bukan hanya berbincang hanya soal pembangunan belia bahkan soal-soal Negara dan dalam sesetengah hal menjangkau isu antarabangsa. Ini menambahkan lagi kredibiliti MPBN di mana pemimpin bukan hanya menjuarai isu berkaitan belia bahkan mereka menjadi jurubicara masyarakat Malaysia dan dunia.
MPBN semenjak kewujudannya 1971 telah berjasa mengangkat suara dan usul belia agar didengari, diangkat dan ditangani sebaiknya oleh Kerajaan dan pembuat dasar. MBPN telah membincangkan ratusan bahkan ribuan usul yang diangkat daripada akar umbi untuk dilaksanakan dan diselesaikan. Pengangkatan usul ini hasil kekemasan struktur yang sedia ada bermula Majlis Perundingan Belia Daerah yang dipengerusilkan oleh Pegawai Daerah (DO) sehingga Majlis Perundingan Belia Negeri yang dipengerusikan Menteri Besar atau Exco Belia dan Majlis Perundingan Belia Negara yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan. Setiap Pengerusi menjadi punca kuasa kepada saluran rasmi pengangkatan usul kepada tahap yang lebih tinggi sama ada langsung ke Dewan Undangan Negeri (DUN), Mesyuarat Kerajaan Negeri, Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia, Kabinet Malaysia atau Parlimen Malaysia. Tidak hairanlah Malaysia dianggap sebagai mempunyai sistem pembangunan belia antara yang terbaik di dunia semenjak mempunyai Dasar Belia Negara pada 1985. Ia sekali gus menggambarkan peranan belia mencapai tahap tertinggi sebagai partner in decision making and nation building sebagaimana yang digambarkan dalam Roger Hart’s Ladder of Young People’s Participation, Young people-adults share decision making. Perlu diberikan nota kaki bahawa Akta 668 hanya memperuntukkan MPBN hanya diperingkat Kebangsaan manakala di peringkat Negeri dan Daerah
Bagi yang tidak biasa dengan MPBN, MPBN secara umumya akan bersidang sekurang-kurangnya 2 kali setahun, dipengerusikan oleh Menteri Belia dan dihadiri oleh Presiden MBM, Exco MBM, Ahli Dewan Tertinggi MBM (38 Badan Gabungan MBM), Ahli Lantikan Menteri, Exco Belia Kerajaan Negeri, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Agensi-Agensi Kerajaan dan Pemerhati. Dimulakan seawall jam 9 pagi dengan ucapan aluan Presiden MBM, Ucapan Dasar Menteri sehinggalah perbahasan ucapan dasar, pembentangan kertas kerja, pembentangan dan perbahasan usul dan diakhiri dengan penggulungan di sebelah tengahari Menteri.
Inilah peluang pemimpin belia untuk memanfaat pentas yang ada untuk memahami dasar kerajaan terhadap pembangunan belia dan dalam masa yang sama membuat proses tawar menawar bagi memastikan suara dan usul yang dibawa dan ditangani oleh pihak atasan. Justeru ia memerlukan skil debat dan pemikiran kritis bagi meyakinkan pihak Kerajaan bahawa usul yang dibawa adalah bersifat awam, segera dan tertentu (meminjam istilah usul di Parlimen Malaysia) demi kebaikan pembangunan belia dan Negara.

Pendebat-pendebat belia dalam MPBN juga harus berani dan kelihatan berani berhujah dalam MPBN sama ada ianya selaras dengan kehendak Kerajaan mahupun yang kelihatan bertentangan dengannya. Walaupun tanggungjawab belia untuk mendokong the government of the day namun ia tidak menghalang untuk pemimpin belia mengkritik Kerajaan terhadap sesuatu isu yang dilihat tidak betul namun ia perlulah dengan penuh adab dan disokong dengan fakta. Inilah semangat syura yang dituntut dalam Islam sebagaimana Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 159,“…dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian jika kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah…”. Sabda Nabi S.A.W.,”Takkan menyesal orang yang istikharah. Takkan rugi dia yang bermusyawarah.” (Riwayat at-Thabrani).
Penulis dua tiga tahun kebelakangan ini memang aktif berpatisipasi dalam MPBN atas kapasiti Ahli Dewan Tertinggi MBM. Di beberapa kesempatan penulis telah memanfaatkan platform ini untuk menyuarakan pelbagai isu khususnya isu sosial dan antarabangsa. Antara lain, isu yang pernah diketengahkan oleh penulis ialah isu kudeta di Mesir, Future Music Festival Asia dan UnIslamic State of Iraq and Syam (IS). Penulis banyak memfokuskan dua isu ini kerana ini merupakan dua sudut yang penulis juarai manakala rakan-rakan pimpinan lain lengkap-melengkapi dalam isu-isu lain. Itulah keindahan 38 badan gabungan MBM yang berperanan lengkap melengkapi kerana setiap badan gabungan mewakili pelbagai perpsektif dan kepakaran masing-masing. Ini menjadi MPBN platform yang meraikan kepelbagaian dan keunikan. Untuk menjadikan MPBN lebih berkesan mungkin saranan Dato’ Suroya Selamat Mantan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negara wajar dipertimbangkan terutamanya membawa masuk pimpinan belia yang cenderung kepada parti pembangkang bagi mendapatkan perspektif berbeza. Ini mungkin boleh direalisasikan melalui ahli lantikan Menteri. Bukan itu sahaja, komposisi ahli lantikan Menteri juga wajar mengambil kira belia yang tidak berparti atau majoriti atas pagar tapi mempunyai idea yang kritis dan bernas untuk dilantik.
Terdapat juga kritikan terhadap MPBN sebagai no action talk only (NATO). Kritikan sebegini sudah menjadi lumrah tapi perlu diingat bahawa MPBN merupakan tempat terbaik untuk mempengaruhi polisi dan dasar kerajaan. Justeru seni mempengaruhi polisi juga merupakan sebahagian aksi yang penting, ia bukan sekadar kata-kata tapi kata-kata yang diterjemahkan dalam bentuk polisi khususnya melibatkan isu-isu yang evergreen di kalangan belia iaitu bantuan kewangan persatuan, perumahan, kemahiran, kos sara hidup dan pendidikan.
Mungkin juga ada yang bertanya apa bezanya MPBN dan Parlimen Belia. Jawapannya jelas iaitu Parlimen Belia merupakan suatu projek penting kepimpinan dan partisipasi belia yang dipunyai oleh Kementerian Belia yang menjadi pelengkap kepada MBPN sebagai salah satu lagi saluran untuk suara belia didengari dan ditangani oleh pihak atasan.
Setelah 44 tahun, MPBN masih terus relevan dan usaha transformasi MPBN telah pun dibengkelkan pada 1-3 Julai 2015 lepas di Bukit Tinggi Pahang sebagaimana saranan Menteri Belia dalam MPBN Sidang 1 Penggal ke-30 pada 30 Mac 2015. Pelan Transformasi MPBN meliputi 5 topik utama iaitu penambahbaikan format persidangan MPBN; penyeragaman di peringkat negeri dan daerah; pemantapan MPBN di peringkat Negeri dan daerah; penambaikan pembentangan dan perbahasan usul; dan pengukuhan tadbir urus MPBN.
Antara pembaharuan yang dicadangkan ialah tempoh persidangan dipanjangkan sehingga ke jam 5 petang berbanding sebelum ini setakat 1 tengah hari. Ia bagi memberikan masa yang luas untuk ahli-ahli MPBN berbincang dan berbahas. Selain itu turut dicadangkan penubuhan sekretariat tetap MPBN di peringkat negeri dan daerah bagi melancarkan urusan dan format pembentangan usul ala Parlimen Malaysia. Paling menarik ialah kewujudan semula jawatankuasa khas MPBN mengikut 9 bidang keutamaan belia. Ia diyakini dapat membantu MPBN supaya lebih fokus dan dapat mencakupi segenap sudut isu belia dan Negara.
Dengan sejarah kegemilangan dan kepentingan MPBN ini maka sejarah MPBN wajar ditulis dan direkodkan kerana ia merakam detik-detik kejayaan pimpinan belia dalam mengangkat suara belia akar umbi ke atas. Sudah pasti rekod-rekod ini penting untuk menjadi teladan dan rujukan untuk pemimpin belia dan generasi muda pada masa hadapan.