MAJLIS BELIA MALAYSIA

Memperkasa akidah dalam mengatasi gejala sosial

MENYINGKAP perkembangan semasa, kita dapati betapa masalah gejala sosial memberi kesan terhadap pengaruh gaya hidup golongan remaja dan belia kita. Keadaan ini pastinya menggusarkan kita dengan pelbagai konsert hiburan dan parti liar yang kini bagai sudah sebati dengan jiwa remaja dan belia yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

Hal ini sekali gus memberi cabaran dan menguji kekuatan umat Islam terutama dalam membendung mereka yang suka berfoya-foya dan membangga-banggakan hal duniawi semata-mata (hedonism).

Walaupun di akhir-akhir ini banyak program berbentuk hiburan seperti “Topless Friday Beach Party” di Ampang yang mendapat tentangan hebat dan dibatalkan namun, kita bimbang hal ini berlaku lagi pada masa akan datang seperti mana penganjuran program Konsert Future Music Festival Asia yang meragut beberapa nyawa anak muda Islam baru-baru ini.

Sebagai umat Islam kita pastinya tidak mahukan perkara sebegini berulang dan menolak apa jua program hiburan yang memudaratkan dan melalaikan umat Islam.

Islam meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan dalam masyarakat tidak terbabas daripada landasan syariat Islam. Tujuan syariat Islam bukanlah untuk menyekat segala bentuk kebebasan manusia sebaliknya lebih kepada mengawal dan mendidik, kerana Islam itu sesuai dengan fitrah semulajadi manusia itu sendiri.

Berhibur dalam Islam adalah suatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya mencari keseronokan semata-mata dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.

 
[kads group=”promosi”]

Antaranya adalah berhibur dengan niat yang betul, tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, sentiasa menjaga adab pergaulan, tiada unsur perjudian, tidak memenuhi tuntutan nafsu dan tidak berlaku pembaziran.

Apabila menyentuh bab hiburan ini perlu dilihat juga kepada aspek penampilan penyanyi, masa persembahan sama ada menghalang kewajipan agama atau melalaikan manusia, sama ada majlis disertai dengan makanan dan minuman haram, benda-benda terlarang, pergaulan lelaki dan perempuan tanpa batasan, dan kesan nyanyian kepada pendengar yang membawa kepada berkelakuan buruk. Semua ini hendaklah diambil kira.

Justeru, kesedaran golongan remaja dan belia serta masyarakat menolak program-program yang tidak bermoral seperti ini amat dialu-alukan. Apabila program seperti ini tiada sambutan penganjur pasti tidak akan menganjurkannya lagi pada masa akan datang. Begitu juga orang muda perlu dibimbing dan bukannya mengikut saja kehendak jiwa mereka sekiranya kehendak itu salah menurut agama dan moral.

Dalam masa sama, seluruh masyarakat juga memainkan peranan dalam menangani isu ini. Sebagai contoh, ibu bapa hendaklah berperanan mendidik anak-anak dengan ajaran Islam yang sebenar agar menjadi generasi yang diredai oleh Allah SWT dan berusaha menjauhi keluarga dari neraka Allah. Sebagai ibu bapa tidak kira sesibuk mana sekalipun, tugas dan tanggungjawab mendidik anak-anak tidak boleh diabaikan.

Cuba kita bayangkan, apakah akibatnya kepada institusi keluarga dan masa depan negara jika ada ibu bapa yang leka dan membiarkan anak mereka terus bergelumang dalam maksiat dan pergaulan bebas?

Oleh itu, marilah kita memperkasakan akidah, keluarga dan masyarakat kita dengan menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah dan rasul-Nya serta mematuhi segala perintah dan larangan yang ditetapkan, mudah-mudahan dengan cara ini kehidupan kita diberkati dan diredai-Nya.

Begitu juga bagi pihak berwajib penguatkuasaan perlulah berterusan untuk mencegah konsert hiburan yang melalaikan ini berlarutan di dalam negara kita. Sebagai sebuah negara Islam, pihak berwajib perlulah menjadikan agama Islam sebagai panduan utama dalam penganjuran aktiviti dan program kemasyarakatan.

Selain memperkasakan akidah dan penguatkuasaan pihak berwajib, usaha untuk membendung gejala sosial ini juga perlu disertakan dengan kesedaran kepada masyarakat. Masyarakat yang prihatin, saling tegur-menegur mampu menjamin keharmonian terutama daripada ancaman gejala sosial.

Sebaliknya, sifat tidak mempedulikan dan tidak mengambil tahu menyebabkan ikatan persaudaraan kita semakin longgar dan perkara-perkara tidak sihat mudah berlaku.

Sama-samalah kita berusaha membendung perkara mungkar dan menyeru segala kebaikan untuk kemaslahatan sejagat sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya”.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan,

Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam (IKIM)

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »