TERENGGANU 15 Jan – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah dijemput ke sesi lawatan dan perbincangan bersama-sama dengan PWS Sdn Bhd yang diketuai oleh Dato’ Rosmadi Ghazali. Turut hadir sama wakil dari Eragene IOT dan Alumni UNISZA melawat ke tapak pertanian Telaga Papan Agro Farm yang diusahakan oleh seorang belia berjaya iaitu Sdr. Hafizi.
Antara tanaman yang diusahakan oleh beliau adalah seperti labu air, terung bulat, cili besar, keledek dan lain-lain sumber makanan berasaskan sayur. Di samping itu juga ternakan ikan sangkar siakap. Beliau merupakan ikon kepada alumni UNISZA.
Lawatan dan perbincangan selama dua hari ini adalah berkaitan kepada kerjasama antara pelbagai pihak dalam pusingan pembekalan, perancangan sekuriti makanan, perancangan ke arah ladang pintar, peluang pekerjaan dan peluang-peluang yang boleh diambil dalam bidang agro makanan. Sesi pertemuan bersama Prof. DR. Hafizan Juahir, Dekan Fakulti Biosumber dan Industri Makanan dan lawatan kemudahan di UNISZA Kampus Besut turut diadakan.
Sdr. Hasnul Haniff Harun, Setiausaha Agung MBM dan Sdr. Izham Ahmad, Bendahari Kehormat MBM telah hadir mewakili MBM.
Harapan MBM agar usaha ini adalah sebagai salah satu langkah dalam menyokong agenda sekuriti makanan negara dan di samping kepada usaha membantu ekonomi petani muda dan mengekang kawalan harga sumber makanan melalui orang tengah.