MAJLIS BELIA MALAYSIA

MEMBELA NASIB BELIA SABAH DAN SARAWAK DALAM PAKEJ PENJANA

oleh:

Sdr. Azuwan Marjan

Naib Presiden

Majlis Belia Malaysia /

Pengerusi Jawatankuasa Belia Borneo

Mengulas kepada Pelaksanaan Pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di dalam teks perutusan YAB Perdana Menteri yang diumumkan baru-baru ini, secara perinciannya saya tertarik dengan perkara 25 hingga 30 yang mensasarkan kepada pemberian peluang pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia menerusi Program Insentif Pengambilan Pekerja yang mana kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM 1.5 Bilion bagi membantu sekitar 300 ribu orang pencari kerja.

Selain daripada itu, kebolehupayaan kemahiran di kalangan belia dan golongan yang menganggur juga diberikan perhatian khusus oleh pihak kerajaan dengan memperuntukkan RM2 bilion menerusi Program Latihan dan Penempatan (place and train) dan Program Peningkatan Kemahiran (upskilling) yang mana mampu memberikan manfaat kepada lebih 200 ribu orang golongan belia serta penganggur.

Dalam mengharungi norma-norma baharu, ramai di kalangan peniaga dan usahawan belia yang bimbang terutama sekali berkenaan dengan isu kelangsungan perniagaan mereka menerusi pemasaran produk atau perkhidmatan kemahiran. Sesungguhnya dengan hikmah di sebalik penularan wabak Covid-19 sebenarnya telah memaksa golongan belia untuk menguasai kemahiran pemasaran secara online dan ianya berjalan dengan begitu baik.

Isu pengangguran di kalangan belia sememangnya sesuatu yang amat meruncingkan semua pihak terutama sekali dalam konteks pembentukan masa hadapan negara yang lebih maju dan gemilang. Belia yang berkemahiran sama ada bekerja dengan majikan ataupun bekerja sendiri ternyata begitu terkesan kepada perlumbaan pemasaran digital yang sudah tentu memberikan kesan yang sangat mendalam. Walaubagaimanapun, pihak kerajaan perlu memastikan tiada keciciran dalam angka sebenar belia yang menganggur terutamanya di kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Program Peningkatan Kemahiran perlu dilaksanakan secara holistik dan tidak spesifik kepada bidang-bidang tertentu sahaja agar semua bidang kemahiran atau bidang-bidang yang lain juga dapat diselaraskan di dalam inisiatif kerajaan dalam membantu golongan belia dan golongan yang menganggur.

Langkah kerajaan untuk melaksanakan Program Latihan dan Penempatan (place and train) iaitu pelaksanaan kursus jangka pendek di institusi-institusi yang terpilih sememangnya langkah yang tepat dan relevan agar kemahiran dapat dilonjakkan melalui tenaga-tenaga pengajar yang profesional dan berkemahiran tinggi. Penambahbaikan sistem pemilihan pelajar perlu diperketatkan dan kerajaan boleh memperkenalkan lebih banyak badan-badan NGO untuk mengesan keberadaan belia yang berkemahiran rendah dan memiliki pengkhususan yang diinginkan.

Peningkatan kemahiran (upskilling) di dalam industri penting seperti elektrik dan elektronik serta teknologi maklumat dan komunikasi sudah tentu memberikan impak yang besar kepada belia di kawasan pedalaman yang mempunyai tahap pendidikan yang rendah dan kurang tenaga pengajar khususnya di Sabah dan Sarawak.

Namun demikian, kerajaan perlu memberikan perhatian yang khusus berkenaan capaian jalur lebar (Internet Networking) di Sabah dan Sarawak yang masih lemah dan agak ketinggalan kerana tidak ada gunanya jika PENJANA dilaksanakan tetapi ianya tidak dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat di Sabah dan Sarawak terutama sekali di kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman.

Selain itu, bantuan kepada perusahaan mikro menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) dan TEKUN Nasional perlulah dilonggarkan syarat-syarat kelayakannya agar hasrat kerajaan untuk membantu rakyat tercapai.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan PENJANA sememangnya mampu memberikan impak yang positif khususnya kpd golongan belia dan harapan saya selaku Naib Presiden MBM yang mewakili belia borneo agar belia-belia di Sabah dan Sarawak tidak akan terlepas atau tercicir daripada menikmati inisiatif kerajaan yang bagi saya sangat baik serta relevan dalam kita menghadapi norma baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bertarikh : 22 Julai 2020

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »