MELAKA 26 Mei – Kerajaan negeri menerusi Jabatan Belia dan Sukan menyasarkan kehadiran seramai 50,000 pengunjung sempena Hari Belia Negara (HBN) peringkat negeri Melaka 2016 yang akan berlangsung pada 28 dan 29 Mei ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol berkata, pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai melalui tarikan pelbagai aktiviti yang dirancang mengikut trend belia masa kini.
Menurutnya, lebih 40 aktiviti menarik akan diadakan melibatkan aktiviti sukan dan riadah serta pameran yang sesuai dengan semua peringkat umur yang berlangsung di pekarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir.
“Kita melihat program ini satu penganjuran berprestij dalam meraikan golongan belia di samping menitikberatkan pembangunan sahsiah generasi muda yang berperanan sebagai pelapis barisan kepemimpinan negara.
“Bagi pihak kerajaan sendiri, golongan belia ini adalah tulang belakang kepada pembangunan negara yang mana, tanpa mereka, kita tidak berupaya untuk menilai pembangunan modal insan itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena penganjuran Hari Belia Negara itu di pejabat Jabatan Belia dan Sukan negeri di sini semalam.
Yang turut hadir Pengarah Belia dan Sukan negeri, Mohd. Fauzi Ariffin serta Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Mohd. Ridhwan Mohd. Ali.
Norpipah berkata, pihaknya percaya sambutan di peringkat negeri itu mampu memperlihatkan bahawa golongan belia mempunyai peranannya yang tersendiri dalam isu pembangunan negara yang bakal mewarisi legasi kepimpinan negara.
Majlis perasmian program itu dijangka disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron pada 29 Mei ini.
Bagi memeriahkan program tersebut, beberapa artis jemputan akan membuat persembahan antaranya bintang aplikasi Smule, Khai Bahar, Bunkface, Mark Adam, Karl Cromok dan Fivelous.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/melaka-sasar-50-000-pengunjung-hari-belia-negara-1.334974#sthash.dw2KJNCu.dpuf