SHAH ALAM 26 Mei 2012 – Majlis Belia Selangor (MBS) mempersoalkan tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menganjurkan Himpunan dan Konvensyen Belia Negeri Selangor 2012 di sini hari ini iaitu hari yang sama dengan pelancaran Hari Belia Negara 2012 di Putrajaya.
Timbalan Presidennya, Badrul Hisham Badrudin berkata, penganjuran program belia oleh kerajaan PKR Selangor itu seolah-olah seperti cuba melaga-lagakan golongan tersebut yang akhirnya akan membuatkan mereka berpecah.
Beliau berkata, kerajaan PKR Selangor tidak sepatutnya menjadikan golongan belia sebagai ‘dagangan politik’ yang boleh dijual beli semata-mata untuk meraih sokongan murahan memandangkan tarikh pilihan raya umum telah semakin hampir.
“Mengapa mereka lakukan sedemikian? Tidakkah nanti yang menjadi mangsa kekeliruan adalah warga belia dan remaja di Selangor dan kerajaan negeri sepatutnya lebih peka serta mengambil inisiatif yang berbeza dengan melaksanakan program mereka pada hari yang lain.