SEREMBAN: Majlis Belia Negeri Sembilan (MBNNS) menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya mengambil kira pandangan pertubuhan belia dan membuat kajian semula mengenai keputusan mengehadkan umur pemimpin belia kepada 30 tahun ke bawah.
Presiden MBNNS, Mohd Fairos Rusli berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan pelaksanaan had umur berkenaan dengan mengambil kira beberapa faktor.
“MBNNS beranggapan persatuan belia pada semua peringkat di Negeri Sembilan masih memerlukan tempoh bagi transisi peralihan kepemimpinan daripada 40 tahun kepada 30 tahun.
“Kami berpendapat penurunan had umur belia tanpa perancangan teliti sebenarnya bakal merencatkan pertumbuhan dan aktiviti berpersatuan dalam kalangan belia hari ini.
“Ketidakstabilan politik negara dan pandemik COVID-19 menjadi faktor yang mengganggu proses transisi peralihan serta pengkaderan kepemimpinan belia seperti yang dirancang sebelum ini,” katanya.
Mohd Fairos berkata demikian pada majlis sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Sembilan, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Belia Daerah Seremban, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohd Fairos berkata, pihaknya menyokong penurunan had umur belia jika ia dibuat secara terancang dan keputusannya tidak dibuat secara terburu-buru yang mana akan membunuh pergerakan belia di seluruh negara.
Beliau berkata, KBS juga diminta memperbanyakkan program kepemimpinan dan pembangunan modal insan dalam usaha melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis dan meminta Perdana Menteri supaya campur tangan dalam keputusan berkenaan.
Dalam sidang Parlimen Rabu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan pelaksanaan umur 30 tahun ke bawah bagi pemegang jawatan pertubuhan belia akan berkuat kuasa bermula 1 Januari depan.
Sementara itu, Mohamad juga senada dengan MBNNS apabila menyatakan dasar yang dibuat KBS perlu diikuti dengan pelaksanaan program yang sesuai dan tidak meninggalkan persatuan belia terkial-kial.
“Umur 30 tahun ini mereka baharu nak membina kerjaya, jadi peringkat umur ini belia masih perlukan bimbingan supaya dasar kerajaan yang mesra belia dapat dijelmakan dengan membimbing golongan ini.
“Belia ni amat penting bagi negara dan negeri kerana golongan ini adalah pelapis. Ramai pemimpin di peringkat negeri dan negara yang lahir daripada pergerakan belia, di peringkat belia ini tempat mereka berlatih menjadi pemimpin,” katanya.