Majlis Belia Malaysia (MBM) merakamkan ucapan tahniah kepada pihak Kerajaan dan Pembangkang atas kesepakatan meminda had umur mengundi dan menjadi calon 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik melalui Rang Undang Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.
MBM juga ingin mengucapkan syabas kepada Menteri Belia dan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan serta seluruh anak muda Malaysia atas pengiktirafan ini.
Lanjutan daripada kejayaan bersejarah ini MBM ingin menggesa agar:
1. Sistem pendaftaran pengundi automatik dibuat kepada seluruh kelompok umur termasuk yang masih tidak berdaftar sebelum ini;
2. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga wajar mengaplikasi kaedah pembatalan pengundi secara automatik bagi yang telah meninggal dunia;
3. SPR membuat persempadanan semula terhadap semua kawasan parlimen khususnya kawasan-kawasan bandar agar tidak berlakunya kepadatan dan ketidakseimbangan antara bandar dan luar bandar memandangkan ramai belia yang telah berhijrah ke bandar;
4. Parti-parti politik memberi ruang dan mempersiapkan lebih ramai calon-calon muda pada pilihan raya akan datang sebagai refleksi kepada pindaan ini. Ia juga selaras dengan kempen global yang didokong oleh MBM iaitu #NotTooYoungToRun;
5. Pertubuhan masyarakat madani (NGO) dan parti-parti politik memperbanyakkan model-model sekolah politik bagi mendidik anak muda dengan pendidikan sivil, demokrasi dan kewarganegaraan. MBM telahpun menubuhkan Sekolah Politik MBM bagi memainkan peranan ini dan MBM akan melancarkan semula Sekolah Politik MBM 2.0 dalam waktu terdekat;
6. Menyeru anak muda agar merebut peluang keemasan ini dengan mempersiapkan diri meningkatkan ilmu dan kemahiran berkaitan demokrasi dan masa depan Negara bagi mempercepatkan proses kematangan untuk menentukan masa depan Negara dengan memilih pemimpin;
7. Pihak guru dan pensyarah sebagai pendidik formal dan pekerja belia sebagai pendidik tidak formal meningkatkan kaedah dan sistem mentoring yang berkesan bagi membimbing belia lingkungan umur 15 – 24 tahun dalam aspek kehidupan, memilih pendidikan, memilih kerjaya termasuk memilih pemimpin.
MBM akan terus memainkan peranan mendidik anak muda khusus dalam aspek partisipasi belia dalam ruang demokrasi dan akan terus membantu Kerajaan dan menyambut tawaran SPR untuk MBM dilibaturuskan bagi menjayakan agenda penting Negara ini.
Tahniah Malaysia!
JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 17 Julai 2019