Putrajaya, 19 Ogos 2010 – Statistik terbaru yang dikeluarkan oleh SPR menunjukkan seramai 4.3 juta rakyat Malaysia yang berumur lebih 21 tahun masih lagi belum berdaftar sebagai pengundi dengan SPR. Angka tersebut dijangka akan meningkat kepada 5 juta orang pada PRU13 nanti jika situasinya adalah seperti sekarang. Jumlah tersebut adalah amat membimbangkan kerana ianya meliputi kira-kira 30% jumlah keseluruhan rakyat yang sepatutnya layak untuk mengundi. Serius melihat perkara ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengadakan pertemuan dengan SPR bagi mendapatkan info seterusnya menjalinkan kerjasama bagi membantu SPR untuk menggalakkan rakyat berdaftar sebagai pengundi. Pertemuan ini diketuai sendiri oleh Presiden MBM, Sdr. Mohamed Maliki Mohamed Rapie dan disambut mesra oleh Pengerusi SPR, YBhg Tan Seri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof bersama pegawai-pegawai kanannya. Menurut Ketua Penerangan MBM, Sdr. Hasnul Fairuz Hushin Amri, Hasil daripada pertemuan ini, SPR telah melantik MBM sebagai Penolong Berdaftar bagi menggerakkan usaha mencari mendaftarkan pengundi muda. MBM juga turut mendengar taklimat mengenai perjalanan pendaftaran pengundi, pilihanraya serta beberapa isu berkaitan SPR. Turut sama hadir ialah Naib Presiden MBM, Tuan Hj. Irmohizam Ibrahim dan Sdr. Low Eng Tack, Setiausaha Agung MBM, Sdr. Mohd. Zaidi Aziz, Penolong Bendahari Kehormat, Sdr. Annas bin Ahmad, Ketua Penerangan MBM, Hasnul Fairuz Hushin Amri serta beberapa exco lain, Sdr. Khairolnezam Shaari dan Sdr. Khairul Annuar Mansor.