Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Sambutan Hari Belia Negara 2020 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) telah menyatakan di dalam ucapannya bahawa beliau bersetuju dengan cadangan yang dibawa oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) supaya kerajaan membentuk kumpulan khas penasihat anak muda bagi menasihatinya tentang apa yang perlu dilakukan untuk anak muda.
Perdana Menteri dalam ucapannya turut mengumumkan akan melantik seorang wakil belia dalam Parlimen Malaysia di Dewan Negara untuk memastikan anak muda sampai ke peringkat tertinggi dalam sistem demokrasi berparlimen.
MBM menyokong penuh pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri itu sambil mengharapkan ianya dapat segera dilaksanakan supaya setiap pelan dan perancangan dapat dirangka dengan lebih teliti.
Sememangnya usaha MBM dalam mendekatkan golongan belia dengan Parlimen Malaysia telah digerakkan semenjak tahun lalu dengan mengadakan sesi lawatan rasmi serta penganjuran program Sekolah Politik. Ia bagi mendedahkan belia terutama di peringkat akar umbi tentang sistem berpelembagaan dan demokrasi berparlimen yang dilaksanakan di Malaysia.
Maka, pengumuman yang dibuat sempena Sambutan Hari Belia Negara 2020 pada 15 Ogos 2020 yang lalu membuktikan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin cakna mengenai kepentingan akan keberadaan golongan muda dalam menyampaikan idealisma mereka sebaris dengan golongan pembuat dasar yang lain.
MBM menyifatkan pengumuman tersebut mempunyai sejarah yang tersendiri. Ianya mempunyai makna yang cukup besar bagi pemain-pemain yang bergelumang dalam arena belia tanah air. Justeru itu, seluruh kepimpinan MBM termasuk Ahli Jawatankuasa dan Dewan Tertinggi MBM sebulat suara memberi sokongan dalam mengusulkan kepada pihak kerajaan supaya Presiden MBM, Jufitri Joha dilantik sebagai Senator dalam Dewan Negara.
Ini menunjukkan kerajaan serius dalam usaha mengangkat martabat belia di negara ini sebagai golongan pelapis kepimpinan masa hadapan. Dalam pada itu, belia secara langsung dapat menjadi ‘suara rasmi’ di Parlimen dan bersama-sama pemimpin negara membina negara ke arah yang lebih maju.
WAN MOHD HUSNI ABDULLAH
Ketua Penerangan
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 18 Ogos 2020