MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM SERU MASYARAKAT HORMAT AKTA PERLINDUNGAN KANAK-KANAK

Isu berbangkit baru-baru ini berkait kes jenayah yang membabitkan seorang pensyarah dan suspek merupakan suami mangsa telahpun ditahan. Masyarakat kini tertumpu kepada anak beliau yang kini berumur 14 tahun yang kini berada dalam jagaan pihak berwajib.

Majlis Belia Malaysia (MBM) khuatir dengan keghairahan netizen di media sosial yang gemar berkongsi rasa simpati dan tanpa segan silu memuat naik gambar anak mangsa.

Akta Kanak-Kanak 2001 serta pindaan pada 2016 jelas menampilkan perlindungan terhadap kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi adalah satu aspek penting dan hendaklah diberi keutamaan. Tambahan, masyarakat wajib untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif bukan hanya secara fizikal, tetapi juga di alam maya.

Ruang untuk pihak berkuasa menyiasat dan suspek yang dihadapkan ke muka pengadilan perlulah dihormati oleh segenap masyarakat. Tuntas, tiada keperluan untuk mengheret nasib anak kepada mangsa dan suspek yang jelas hanya akan memberikan dampak negatif kepada perkembangan emosi anak terbabit sekaligus bakal merencat perkembangan beliau seterusnya menjadi warga belia yang baik.

Sesi ziarah dan menyampaikan sumbangan haruslah disulam dengan sisi empati yang tinggi. Bukan hanya untuk tatapan warganet dan pengikut masing-masing, tetapi harus sampai kepada objektif melindungi hak kanak-kanak.

Semoga episod ini mengajar masyarakat untuk berhati-hati dalam melontarkan pendapat dan berkongsi sebarang paparan yang bercanggah dengan akta. Bimbang dalam kita sibuk mengecam unsur jenayah, kita juga secara tidak langsung telah terjebak dalam melakukan jenayah pencerobohan Akta Perlindungan Kanak-Kanak.

NURUL-HUDA MOHAMED AFANDI

Pengerusi Jawatankuasa Tetap

Hal Ehwal Wanita dan Keluarga

Merangkap;

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia

Bertarikh: 5 Ogos 2020

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »