MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM seru ke arah perpaduan, kestabilan dan keharmonian, ucap tahniah pelantikan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai PM10

Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama badan-badan gabungannya menjunjung kasih kehadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu atas kebijaksanaan Baginda merungkai kemelut siasah negara sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam perkembangan yang sama, MBM juga merakamkan ucapan tahniah dan selamat menjalankan amanah kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Mutakhir ini, berlaku kekecohan dalam kalangan rakyat akibat tersebarnya bahan-bahan provokasi politik perkauman khasnya dalam platform media sosial. Justeru, MBM menyeru seluruh belia Malaysia agar menolak sekeras-kerasnya sebarang provokasi bersifat perkauman yang dimuat naik di beberapa platform media sosial, susulan keputusan PRU15.

MBM juga menyambut baik kenyataan tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam memastikan perkara ini dapat dikawal sebaiknya tanpa menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Dalam keadaan politik yang sedang menjalani tempoh sukar ini, MBM mengajak semua belia untuk bersama-sama menjaga kesantunan dan kebersamaan yang telah terjalin untuk membangun bangsa. Masyarakat Malaysia dibina atas dasar keharmonian setiap bangsa harus dijaga demi kelangsungan pembangunan. Nilai-nilai yang telah ditanam oleh pendukung bangsa ini yang mendahulukan kebersamaan, kearifan dan kesantunan harus kita junjung tinggi.

Dalam konteks ini, MBM meminta semua parti politik agar berhenti memanipulasi rakyat dalam memainkan sentimen perkauman demi kepentingan politik masing-masing. Mengheret rakyat dalam membangkitkan isu sensitif akan lebih menonjolkan sifat tidak matang mereka dalam politik. Parti politik seharusnya memfokuskan kepada objektif berkhidmat untuk rakyat. Isu perkauman ini tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat, malah ia hanya menimbulkan sifat benci sesama kaum.

Sehubungan itu, seluruh kepimpinan MBM serta badan gabungan mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melakukan tindakan tegas dengan menutup terus akses buat sementara waktu kepada penggunaan mana-mana platform media sosial yang menyentuh isu perkauman. Langkah ini dilihat paling wajar kerana pengguna bebas memuat naik dan kemas kini pelbagai bentuk kandungan yang boleh menimbulkan situasi yang mengancam keselamatan di media sosial.

Hasrat MBM dalam penegasan atas isu ini adalah demi melihat generasi muda menghargai keharmonian negara yang sedia terjalin. Negara ini mengambil masa bertahun-tahun membina perpaduan, tetapi jika sekali isu perkauman dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, dengan sekelip mata ia boleh meruntuhkan segala-galanya.

Tambahan pula, MBM berharap agar jemaah menteri yang bakal dilantik adalah berdasarkan merit dan kepakaran. MBM juga berdoa dan berharap agar Perdana Menteri serta Jemaah Menteri yang bakal dibentuk melalui kerajaan perpaduan selepas ini mampu membawa Malaysia ke arah kestabilan dan kesejahteraan.

MOHD IZZAT AFIFI HJ ABD HAMID

PRESIDEN

MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh : 24 November 2022

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »