MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) SERU BELIA DAN MASYARAKAT MALAYSIA BERSAMA MENJAYAKAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN
Majlis Belia Malaysia (MBM) menyatakan sokongan dan dokongan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atas pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) di Kedah Darul Aman yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah pada 11 Oktober 2015 yang lalu. MBM turut terlibat menjayakan BBK apabila terlibat dalam Forum Kelestarian Ilmu: “Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Kalangan Generasi Y” di UiTM Perak Kampus Seri Iskandar.
MBM juga turut ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas sekali kepada pihak DBP di bawah pimpinan Dato’ Dr. Awang Sariyan yang komited untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa jati diri dan bahasa ilmu serta menjadikannya bahasa antarabangsa setanding bahasa Inggeris, bahasa Perancis dan bahasa-bahasa utama yang lain.
MBM selaku pertubuhan utama belia di Malaysia, sentiasa menyatakan iltizam dan komited untuk sama-sama mendokong kedaulatan bahasa Melayu dan dalam masa sama menekankan kepentingan untuk memperkasakan bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia melalui agenda Mendaulatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Selain itu MBM turut menekankan kepentingan penguasaan bahasa-bahasa utama dunia seperti Mandarin, Arab, Sepanyol, Rusia dan Jepun di kalangan belia dan masyarakat yang memberikan manfaat yang banyak kepentingan diri dan Negara.
Selain itu MBM, ingin menggesa pihak Kerajaan agar tidak tunduk kepada usaha-usaha terancang untuk mengembalikan semula pengajaran Sains, Matematik dan beberapa subjek lain dalam bentuk dan versi baru sambil menegaskan bahawa kaedah pengajaran bahasa Inggeris yang harus diperbaiki bagi memastikan para pelajar dan belia mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik demi kebaikan mereka dan Negara. Kerajaan juga harus serius menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di kalangan penjawat awam dan di dalam mesyuarat-mesyuarat rasmi Kerajaan agar kedaulatan bahasa Melayu terus terpelihara.
MBM turut menyeru pihak Institut Pengajian Tinggi (IPT) khususnya IPT awam untuk terus yakin mendokong bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu melalui penghasilan tesis, penerbitan buku dan jurnal serta pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu pihak IPT wajar mengambil peluang dengan kehadiran ratusan ribu pelajar asing yang belajar di Malaysia agar menggalakkan mereka menguasai bahasa Melayu dengan fasih sehingga mereka mampu menjadi duta bahasa Melayu apabila pulang ke Negara masing-masing kelak.
MBM menyeru belia dan rakyat Malaysia agar sama-sama menjayakan BBK dengan menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan rasmi dan bahasa ilmu yang mampu mengangkat martabat dan harakat bangsa Malaysia.
JUFITRI BIN JOHA
Naib Presiden MBM
&
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan MBM