Kuala Lumpur, 15 Mei – Golongan belia di negara ini diseru berpartisipasi dalam kancah politik sebagai manifestasi anak muda terhadap proses menyuburkan demokrasi.
Sehubungan itu, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal menubuhkan sebuah sekolah politik dalam tempoh terdekat bagi memberikan pendidikan dan kefahaman kepada golongan belia mengenai politik, kepentingannya dan pembentukan sesebuah negara.
Presiden MBM Mua’amar Ghadafi Jamal berkata, “Konvensyen Belia Kebangsaan (KBK) kali ini mengangkat tema `Cakna Negara: Demokrasi, Populisme dan Sosialisasi Politik Belia Pasca PRU ke-14′ bagi mendidik belia dan rakyat agar cakna isu populisme pasca pilihan raya umum yang bakal menentukan kesuburan demokrasi dan masa hadapan Malaysia”.
“MBM berhasrat mengangkat dan meneruskan debat populisme di Malaysia bersesuaian dengan peranan dan fungsi MBM untuk mendidik belia dan rakyat Malaysia agar meningkatkan partisipasi yang positif di dalam ruang demokrasi Malaysia”.
“Indeks Belia Malaysia 2015 jelas menunjukkan skor domain sosialisasi politik amat rendah di kalangan belia dan perlu ditangani secara berkesan oleh MBM. Kajian terbaru pada Ogos 2017 NGO Watan dan Merdeka Centre mengesahkan generasi muda di Malaysia masih kurang kesedaran untuk berpartisipasi dalam ruang demokrasi khususnya dengan mendaftar mengundi dan mengundi. Kajian tersebut turut menunjukkan bahawa responden menyebutkan mengundi tidak memberikan apa-apa kesan secara umumnya”, tambah beliau.
Pada sebelah pagi telah berlangsung sesi ‘perkongsian pengalaman’ yang menampilkan Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan YB. Sdr. Syahbuddin Hashim, YB DUN Galas merangkap Pengerusi Tetap MBM. Sesi ini dipengerusi oleh Sdr. Jufitri Joha, Naib Presiden MBM.
Konvensyen sempena Hari Belia Negara 2018 itu dihadiri lebih 500 belia dari perbagai peringkat dan pertubuhan dari seluruh negara yang juga merupakan review terhadap PRU ke-14 dan kaitannya dengan sosialisasi politik belia.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Datuk Hatipah Hj Ibrahim, barisan kepimpinan MBM di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.
Pada majlis sama, Presiden MBM turut melancarkan Kempen ‘Belia Cinta Malaysia’ melalui kibaran jalur gemilang. Objektif utamanya adalah untuk memupuk semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.
“MBM akan mengadakan pelbagai program bagi meningkatkan perasaan cinta kita kepada negara walaupun kelihatan amat kecil pada pandangan sesetengah pihak,” ujarnya.
Bagi tujuan tersebut, MBM turut membuka peluang kepada syarikat-syarikat swasta dan orang ramai yang ingin membantu dari segi kewangan kepada tabung MBM di akaun Maybank Berhad nombor akaun 014020406995.