MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM SAMBUT BAIK USAHA KERAJAAN MENANGANI ISU 500,000 BELIA MENGANGGUR

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyertai Sesi Konsultasi Belanjawan 2020 Khamis lepas yang dipengerusikan YB Menteri Kewangan di Kementerian Kewangan, Putrajaya.

MBM menyambut baik usaha Kerajaan menangani kadar pengangguran belia yang telah mencecah 10.9 peratus pada 2018 dan isu 500,000 belia yang sedang menganggur bahkan mengggesa ianya perlu disegerakan.

MBM merupakan salah satu daripada 162 organisasi dengan 1,516 isu yang disebut YB Menteri Kewangan yang menghantar memorandum cadangan untuk Belanjawan 2020.

Di kesempatan ini suka MBM mempertegaskan sebahagian daripada cadangan berkaitan belia untuk perhatian Kerajaan bagi dipertimbangkan dalam Belanjawan 2020, antara lain:

1. Kerajaan harus berusaha keras menaikkan gaji minimum sehingga RM1,500 – RM1,800 bersesuaian dengan dapatan kajian KWSP Belanjawanku;

2. Menyediakan dana khas perumahan belia bagi golongan belia yang tidak berkemampuan ataupun yang tidak memenuhi syarat meminjam di bank bank tempatan bagi membolehkan mereka membeli kediaman asas yang selesa;

3. Mewajibkan para majikan mengiklankan tawaran bekerja beserta amaun gaji bagi dijadikan mekanisme untuk memantau dan membandingkan gaji minuman di kalangan majikan sekaligus memastikan majikan memperuntukkan gaji minimun yang setimpal untuk bakal pekerja.

4. Meningkatkan dana kepada Kementerian Belia dan Sukan dan pertubuhan belia bagi menjayakan agenda sosial negara bagi menggalakkan para belia menyertai persatuan belia, mengelakkan para belia terlibat dalam jenayah dan gejala sosial sekaligus menjimatkan duit Kerajaan.

Demikian petikan sebahagian kecil daripada cadangan MBM dan para belia yang telah dihantar melalui memorandum kepada Kementerian Kewangan Malaysia pada 30 Mei yang lepas.

Akhirnya, MBM juga sukacita mencadangkan agar konsultasi belanjawan juga pada masa akan datang dikendalikan satu slot khas Menteri Kewangan bersama pemimpin belia dan pemimpin pergerakan belia agar Menteri boleh mendengar langsung cadangan dan idea daripada pihak generasi muda bersesuaian dengan agenda Kuasa Belia atau Youth Power yang sedang dipopularkan oleh pihak Kerajaan.

JUFITRI JOHA

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Tarikh : 30 Jun 2019

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »