MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM sambut baik Pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655)

Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui Jawatankuasa Perundangan, Advokasi, Hak Asasi dan Hal Ehwal Parlimen menyambut baik hasrat Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi meningkatkan tempoh hukuman dan kadar denda kepada pihak yang menyebabkan pencemaran sistem bekalan air.

Cadangan tersebut akan melibatkan pindaan Seksyen 121 dan 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang melibatkan peningkatan denda daripada RM100,000 kepada RM10 juta manakala hukuman penjara dinaikkan daripada setahun kepada 15 tahun, ataupun kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pindaan ini sekaligus akan meningkatkan kadar yang lebih berat kepada pihak-pihak yang terlibat mengganggu dan mencemarkan sumber air mentah negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Parlimen Malaysia wajar menimbangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Perubahan Iklim. Ini bagi memastikan usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar, perlindungan biodiversiti dan pengurusan hutan simpan dapat diberikan perincian sewajarnya sejajar dengan hasrat rukun pertama Malaysia MADANI iaitu, KEMAMPANAN.

Jawatankuasa Khas Perubahan Iklim seharusnya berperanan dalam merangka Dasar Alam Sekitar Negara serta mengkaji cadangan penggubalan Akta Perubahan Iklim.

Usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar sejajar dengan konsep hifz al-biah dalam aspek maqasid syariah terutama memastikan ekosistem dan khazanah alam negara ini terjaga untuk kemudahan generasi masa hadapan.

MOHD IZZAT AFIFI HJ ABD HAMID

PRESIDEN

MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh : 20 Februari 2023

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »