Tahun 1959 menyaksikan Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dibentuk dan bertindak sebagai gerakan mahasiswa utama di kampus. Hasrat untuk menubuhkan sebuah persatuan pelajar ini lahir apabila mahasiswa di kampus merasakan mereka perlu kepada sebuah persatuan pelajar bagi menyuarakan pendapat dan pandangan mereka terhadap sesuatu isu. Setiap tahun, PMUM meneruskan kesinambungan perjuangannya untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang telah diatur merangkumi aspek kerohanian, akademik, motivasi, kepimpinan, khidmat sosial dan kemasyarakatan. Melalui aktiviti-aktiviti ini, PMUM mampu melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja tahu berorganisasi, bahkan menyumbang ke arah kecemerlangan diri, masyarakat dan negara.
Walaubagaimanapun, selepas berkuatkuasanya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1975, semua kesatuan pelajar dibubarkan dan digantikan dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang dikawal selia oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).
Sejarah gerakan mahasiswa sengaja diimbas kembali kerana mempunyai kaitan rapat dengan pelancaran Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau IIUM Student Union yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik pada 23 Oktober 2019 lalu.
Barisan kepimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) mengucapkan syabas dan tahniah kepada UIAM dan khususnya kepada Dr. Maszlee Malik atas menunaikan janji untuk memberikan kebebasan kepada mahasiswa dalam mengatur sebuah pergerakan pelajar berorganisasi. MBM melihat ianya satu latihan yang cukup signifikan kepada mahasiswa untuk membentuk keupayaan diri supaya menjadi lebih matang dalam berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran.
MBM mengesyorkan agar penubuhan kesatuan pelajar seumpama ini dapat diperluaskan lagi kepada lebih banyak Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) supaya dapat menjadi platform utama kepada mahasiswa untuk bersuara. Mahasiswa haruslah bijak dalam mengambil manfaat dari kebebasan ini namun mesti dalam kerangka adab dan undang-undang.
MBM juga melihat kepentingan dalam menjadikan kesatuan pelajar yang lain agar didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY). Perkara ini bakal menjadi pelan jangka masa panjang dalam memastikan kesinambungan kepimpinan di peringkat kampus tidak terus hilang selepas bergraduasi, malah dapat diteruskan kepada peringkat pergerakan belia tanah air.
Dalam hal ini, MBM sentiasa membuka peluang dalam menawarkan kepakaran untuk melatih pergerakan kesatuan pelajar dalam memperkasakan lagi pergerakan terutama dari segi urus tadbir. Tawaran kepada kesatuan pelajar untuk bergabung menjadi badan bersekutu MBM sentiasa terbuka sekiranya segala syarat dapat dipenuhi memandangkan daripada segi sejarah MBM merupakan wadah memayungi gerakan belia dan pelajar di Malaysia.
MBM sentiasa melihat ke hadapan dalam merealisasikan perancangan ini demi memastikan perjuangan memperkasa belia Malaysia dapat disalurkan secara meluas ke peringkat universiti.
JUFITRI JOHA
PRESIDEN
MAJLIS BELIA MALAYSIA
Bertarikh: 25 Oktober 2019