MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM Sambut Baik Pemilihan Belia Malaysia Sebagai Pengerusi Asia Pacific Region, IIFSO

MBM SAMBUT BAIK PEMILIHAN BELIA MALAYSIA SEBAGAI PENGERUSI

ASIA PACIFIC REGION, IIFSO

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik pemilihan Sdr. Ahmad Farhan Rosli, Exco MBM sebagai Pengerusi Lingkungan Asia Pasifik (Asia Pacific Region), Persekutuan Pertubuhan Pelajar Islam Antarabangsa (International Islamic Federation of Student Organization) (IIFSO) bagi sesi 2023-2026 dalam Perhimpunan Agung IIFSO yang berlangsung dari 29 hingga 30 April 2023 di Istanbul, Turkiye.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mewakili negara ke persidangan tersebut bersama delegasi Malaysia dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Persidangan bertemakan ‘Together for a Brighter Future’ ini dihadiri perwakilan hampir 60 negara terdiri daripada pemimpin pemuda Islam dan mantan-mantan pimpinan IIFSO.

Sdr. Ahmad Farhan juga diberi penghormatan mewakili Malaysia dan Lingkungan Asia Pasifik menyampaikan ucaptama yang menyentuh soal kerjasama pemuda Islam, kefahaman Fiqh at-Taayush dan Islamofobia.

Turut disentuh terkait soal MADANI untuk diangkat ke pentas global sebagai suatu idealisme pemuda Islam global.

PKPIM merupakan badan gabungan MBM berasaskan ‘pelajar’ selain Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang memainkan peranan aktif dalam menyantuni golongan pelajar dan mahasiswa.

Tentunya pemilihan ini menjadi kebanggaan belia Malaysia selain wakil menduduki beberapa organisasi belia antarabangsa antaranya Jawatankuasa Kerjasama Belia ASEAN (CAYC), Majlis Belia Asia (AYC) dan Perhimpunan Belia Sedunia (WAY).

Semoga amanah ini dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi demi kepentingan belia Malaysia dan umat sejagat.

Mohamad Fazril Mohd Saleh

Ketua Penerangan

Majlis Belia Malaysia

Tarikh : 3 Mei 2023

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »