KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) memuji usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memperkenalkan Kod Sukan Selamat yang bertujuan melindungi para atlet sukan di negara ini.
Setiausaha Agung MBM, Hasnul Haniff Harun berkata, Kod Sukan Selamat membantu membendung budaya tidak sihat terutama dalam aspek keselamatan gangguan seksual, buli dan keganasan semasa menjalankan program dan aktiviti yang melibatkan belia.
Kod yang diperkenalkan KBS itu akan menjadi panduan dan rujukan kepada semua persatuan belia mengenai skop sukan selamat dan tanggungjawab komuniti secara menyeluruh.
“Sehubungan itu, semua persatuan sukan dan persatuan belia disaran untuk menyokong usaha ini.
“MBM serta 41 buah badan gabungan telah bersama KBS dalam menyokong usaha murni ini dengan memeterai Kod Sukan Selamat pada 5 April 2023 lalu bagi memastikan Malaysia dapat meningkatkan lagi produktiviti serta kecemerlangan dalam bidang sukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Hasnul, sejak 2022, MBM sememangnya aktif dalam menggerakkan kempen Perlindungan dari Eksploitasi dan Penderaan Seksual (PSEA).
Menurutnya, PSEA merujuk kepada langkah-langkah untuk melindungi mereka yang paling berisiko daripada eksploitasi dan penderaan seksual oleh pemegang jawatan di dalam MBM, kakitangan MBM, personel berkaitan dengan MBM seperti sukarelawan, jurulatih, fasilitator pekerja bantuan misi, termasuk pembekal seperti kontraktor, perunding, pembekal barangan dan perkhidmatan, serta lain-lain individu atau organisasi atau agensi atau syarikat yang terlibat dengan kerja-kerja MBM.
“Berlandaskan konsep MADANI, ‘kelestarian sosial’ yang kukuh akan membentuk masyarakat yang mapan secara sosial kerana terdapat hubungan mesra yang saksama, kepelbagaiaan dan saling berkait dan bergerak secara demokratik.
“Ini mampu memberikan impak mutu kehidupan yang lebih baik, selari dengan objektif serta tujuan Kod Sukan Selamat,” tegasnya. – MalaysiaGazette
Artikel penuh :