Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik pengumuman Belanjawan 2025 yang bertemakan “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat”. Belanjawan kali ini dengan jelas menunjukkan tumpuan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan belia sebagai elemen utama dalam kemajuan negara.
Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 yang menjadi salah satu teras penting dalam Belanjawan ini, akan memberi impak besar kepada lebih sejuta pekerja muda di Malaysia. Langkah ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan. Golongan belia, khususnya akan mendapat manfaat besar daripada inisiatif ini dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.
Selain itu, MBM turut mendokong penuh beberapa inisiatif utama yang disasarkan kepada golongan belia seperti :
- Program Anak Kita dan Sokongan TVET
MBM menyokong penuh peruntukan RM30 juta kepada Program Anak Kita, yang merupakan usaha menyeluruh untuk menangani isu keciciran 80,000 anak-anak di Malaysia. Sokongan tambahan oleh Yayasan Hasanah yang memfokuskan kepada minat anak-anak dalam bidang TVET juga sangat penting bagi memastikan generasi muda kita mendapat kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran kerja masa kini. Inisiatif ini akan membantu membina masa depan yang lebih baik dan berdaya saing untuk generasi akan datang.
- Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0)
Pelancaran rintis Program Latihan Khidmat Negara 3.0 dengan peruntukan RM50 juta adalah satu langkah penting dalam memperkukuhkan jati diri dan semangat kenegaraan di kalangan belia. Melibatkan PDRM, agensi beruniform lain dan Akademi Kenegaraan dalam program ini akan memberikan pengalaman yang lebih holistik dan berstruktur kepada lepasan kadet sekolah. MBM yakin bahawa PLKN 3.0 mampu memupuk disiplin, tanggungjawab dan semangat patriotisme di kalangan belia.
- Program Rakan Muda
Belanjawan 2025 turut memperuntukkan RM25 juta kepada Program Rakan Muda, yang bertujuan memupuk identiti, jati diri dan daya tahan belia. Program ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan belia menjadi generasi yang dinamik, berdaya tahan dan inovatif. Dengan tumpuan kepada pembangunan belia, program ini akan memainkan peranan besar dalam memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi muda.
- Skim Step Up Financing Untuk Golongan Muda
Pengenalan Skim Step Up Financing dengan jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion khusus untuk golongan muda yang ingin memiliki rumah pertama merupakan satu langkah yang sangat dialu-alukan. Skim ini menawarkan bayaran balik pinjaman yang lebih rendah bagi tempoh lima tahun pertama, yang pastinya dapat meringankan beban kewangan golongan muda dan membantu mereka memiliki aset penting seperti rumah.
- Program Latihan Industri Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (LiKES)
MBM juga menyokong inisiatif Geran Padanan RM10 juta oleh TalentCorp di bawah Program LiKES yang membolehkan syarikat melatih mahasiswa dalam bidang STEM. Ini adalah satu langkah yang penting dalam memperkasakan graduan muda dengan kemahiran yang relevan dan meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam bidang-bidang kritikal masa hadapan.
- Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE)
Peruntukan RM20 juta bagi Program TUBE juga sangat dialu-alukan oleh MBM. Program ini terus menggalakkan generasi muda untuk menceburi bidang keusahawanan yang bukan sahaja membantu meningkatkan taraf hidup mereka, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan ekonomi negara melalui pembinaan perniagaan baharu.
- Penyelenggaraan Kemudahan Belia dan Sukan
MBM mengucapkan terima kasih atas komitmen kerajaan untuk menyelenggara dan membaik pulih kemudahan belia dan sukan di seluruh negara. Langkah ini penting untuk memastikan belia mempunyai akses kepada fasiliti yang berkualiti bagi menjalankan aktiviti sihat dan produktif.
- Geran Padanan Sukan
Inisiatif Geran Padanan Sukan untuk menggalakkan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan NGO amatlah disokong. Ini bukan sahaja akan memperkasa aktiviti sukan di peringkat akar umbi, tetapi juga dapat memupuk perpaduan dan kesihatan dalam kalangan belia.
- Program Belia Kreatif MADANI
Inisiatif yang disasarkan untuk 16,000 anak muda menceburi bidang seni dengan peruntukan RM30 juta. Aktiviti seperti bengkel kemahiran videografi, kandungan kreatif, pembangunan komuniti filem serta pertandingan filem pendek diharap dapat memeriahkan lagi industri penciptaan idea dan kreatif untuk anak muda.
Daron Acemoglu dalam kajiannya dengan tegas memperlihatkan pertumbuhan ekonomi yang adil dan inklusif hanya akan tercapai apabila seluruh rakyat, termasuk belia, diberi ruang untuk menyumbang secara aktif. Ini adalah asas kepada kejayaan Ekonomi MADANI yang digariskan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2025. “Prosperity demands of us more prudence and moderation than adversity.”
Justeru, belia Malaysia perlu bijak dalam mengurus peluang yang ada, menggunakan setiap peluang dengan cermat dan penuh tanggungjawab demi masa depan yang lebih baik.
MBM komited untuk terus memainkan peranan dalam memastikan semua inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 memberikan impak positif dan berkekalan kepada golongan belia. Dengan semangat tema “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat”, belia akan terus menjadi pemacu utama kemajuan negara dan penggerak transformasi yang inklusif.
MOHD IZZAT AFIFI HJ. ABDUL HAMID
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 19 Oktober 2024