MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM Sambut Baik Amanat Perdana Hari Kebangsaan: Langkah Prihatin Atasi Beban Rakyat dan Perkasa Anak Muda

Majlis Belia Malaysia (MBM) mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-69 untuk semua rakyat Malaysia khususnya warga belia. Sebagai pewaris dan penerus kemerdekaan Malaysia yang telah diperjuangkan oleh generasi terdahulu, menjadi tanggungjawab kepada seluruh belia dan anak muda untuk terus mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan Malaysia hingga selama lamanya. 

MBM menyambut baik beberapa pengumuman oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia sempena Amanat Perdana Hari Kebangsaan semalam, yang memperlihatkan keprihatinan serta komitmen Kerajaan MADANI dalam menangani kos sara hidup, memperkukuh perkhidmatan awam serta memperluas peluang kepada rakyat khususnya golongan belia.

MBM menghargai usaha baik mengembalikan kelayakan BUDI95 kepada 300 liter sebulan, serta peningkatan kelayakan BUDI Diesel kepada 400 liter, ini sudah tentu memberi kelegaan khususnya kepada rakyat yang mempunyai keperluan mobiliti tinggi terutama golongan belia yang merupakan penggerak utama ekonomi negara. Dalam keadaan tekanan kos kehidupan masih menjadi antara kebimbangan utama anak muda dan rakyat Malaysia am-nya, setiap pengurangan tekanan terhadap perbelanjaan akan memberikan ruang kewangan yang lebih besar kepada mereka untuk mengurus keperluan asas, keluarga dan simpanan.

Paling menarik perhatian MBM ialah pengumuman Program AI untuk Rakyat yang menyasarkan 100,000 belia berumur 18 hingga 30 tahun dengan tawaran langganan AI percuma selama tiga bulan selepas melengkapkan modul pembelajaran AI di Rakyat Digital.

MBM menyifatkan inisiatif ini sebagai satu langkah yang tepat pada masanya. Akses kepada teknologi AI tidak seharusnya menjadi keistimewaan mereka yang berkemampuan, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada proses pendemokrasian ilmu dan teknologi kepada seluruh anak muda Malaysia. Dalam dunia pekerjaan yang sedang berubah dengan pantas, literasi AI bakal menjadi sama pentingnya dengan literasi digital pada dekad yang lalu. 

Bagi MBM, pengumuman seumpama ini membawa makna yang lebih besar bersempena sambutan kemerdekaan negara. Kemerdekaan pada hari ini bukan sekadar kebebasan sebuah negara daripada penjajahan, tetapi juga kebebasan rakyat daripada kemiskinan, keterbatasan peluang, jurang digital dan ketidaksamarataan akses kepada pendidikan, kesihatan serta ekonomi.

MBM berharap segala inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan segera, telus dan mudah diakses, khususnya oleh golongan belia, masyarakat berpendapatan rendah serta rakyat di luar bandar. Kejayaan sesuatu dasar akhirnya dinilai kejayaan melalui sejauh mana manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat. 

MBM akan terus memainkan peranan sebagai jambatan antara suara anak muda dengan Kerajaan dan bersedia bekerjasama bagi memastikan peluang yang diwujudkan, khususnya berkaitan AI, ekonomi digital, keusahawanan dan pembangunan belia, dapat dimanfaatkan secara meluas oleh anak muda di seluruh negara. Merdeka bukan sekadar apa yang kita warisi, tetapi masa depan yang kita bina bersama. 

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan. 

Merdeka! Merdeka! Merdeka! 

MOHD IZZAT AFIFI HJ ABDUL HAMID 

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 31 Ogos 2026

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »