KUALA LUMPUR 28 September – Majlis Belia Malaysia terus memperkukuh usaha memperkasa penglibatan belia dalam bidang teknologi dan advokasi menerusi penganjuran program MBM Campus Connect: Artificial Intelligence for Youth Advocacy yang berlangsung di International Medical University (IMU), Bukit Jalil.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Dr Thulasimani A/p Munohsamy, Associate Dean, Research & External Engagement, International Medical University (IMU) yang menyampaikan ucapan pembukaan kepada para peserta.
Program yang menghimpunkan seramai 20 orang mahasiswa IMU ini menjadi platform untuk memperkenalkan peranan dan fungsi MBM dalam ekosistem pembangunan belia, selain memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan advokasi serta penggunaan teknologi dalam membawa perubahan positif.
Exco Majlis Belia Malaysia, Eow Shiang Yen, telah memperkenalkan MBM kepada para pelajar IMU dengan berkongsi mengenai peranan MBM sebagai badan yang memperjuangkan aspirasi belia serta peluang penglibatan mahasiswa dalam pelbagai inisiatif pembangunan belia.
Beliau turut berkongsi mengenai kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) serta peranannya sebagai alat sokongan dalam memperkukuh advokasi belia. Para peserta didedahkan dengan penggunaan AI bagi membantu proses penyelidikan, pembangunan idea serta penyampaian mesej yang lebih berkesan.
Selain sesi perkongsian, peserta turut menyertai aktiviti berkumpulan dengan membangunkan idea advokasi berkaitan isu belia menggunakan AI sebagai medium sokongan. Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan teknologi dalam menghasilkan cadangan penyelesaian serta membentangkan idea untuk mendapatkan maklum balas.
Program MBM Campus Connect: Artificial Intelligence for Youth Advocacy yang berlangsung pada 28 September 2026 di IMU, Bukit Jalil ini menjadi medium untuk memperkukuh kefahaman mahasiswa mengenai peranan belia dalam advokasi serta potensi teknologi AI dalam menyokong pembangunan idea dan penyelesaian berkaitan isu semasa.
Melalui penganjuran program ini, MBM berharap dapat terus memperluaskan jaringan bersama institusi pendidikan tinggi serta melahirkan generasi belia yang berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia memanfaatkan teknologi dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat.




















