MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM sambut baik inisiatif kerajaan melalui Belanjawan 2025

PEMBENTANGAN Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Jumaat, disambut baik oleh rakyat terutama daripada golongan belia yang menjadi antara tunjang kepada masa depan negara.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, mewakili suara belia, MBM menyambut baik inisiatif kerajaan melalui Belanjawan 2025 bertemakan “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahterakan Rakyat” yang diumumkan semalam.

Jelasnya, MBM mendokong penuh beberapa inisiatif utama yang disasarkan kepada golongan belia termasuk kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 yang menjadi salah satu teras penting dalam belanjawan kali ini.

“Belanjawan kali ini dengan jelas menunjukkan tumpuan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan belia sebagai elemen utama dalam kemajuan negara.

“Kenaikan gaji minimum RM1,700 selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya lagi, golongan belia, khususnya akan mendapat manfaat besar daripada inisiatif ini dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.

Selain gaji minimum, MBM ujarnya menyokong penuh keputusan kerajaan dalam menyediakan peruntukan lain bagi program-program berkaitan belia seperti Program Anak Kita dan Sokongan TVET; Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0); Program Rakan Muda; Skim Step Up Financing; Program Latihan Industri untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (LiKES).

Selain Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE); Penyelenggaraan Kemudahan Belia dan Sukan; Geran Padanan Sukan dan Program Belia Kreatif Madani.

“Kesemua peruntukan ini amat bermakna bagi generasi muda untuk menggunakan peluang yang disediakan demi pembangunan orang muda.

“Program Anak Muda misalnya, merupakan usaha menyeluruh untuk menangani isu keciciran 80,000 anak-anak di Malaysia.

“Sokongan tambahan oleh Yayasan Hasanah yang memfokuskan kepada minat anak-anak dalam bidang TVET juga sangat penting bagi memastikan generasi mid akita mendapat kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran kerja masa ini,” tambah beliau lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Izzat Afifi berkata, PLKN 3.0 yang diperuntukan sebanyak RM50 juta dan Program Rakan Muda sebanyak RM25 juta juga adalah satu langkah penting dalam memperkukuhkan jati diri dan semangat kenegaraan di kalangan belia selain memupuk identiti, jati diri dan daya tahan belia.

“MBM yakin bahawa PLKN 3.0 mampu memupuk disiplin, tanggungjawab dan semangat patriotisme di kalangan belia.

“Dengan tumpuan kepada pembangunan belia, program ini akan memainkan peranan besar dalam memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi muda,” ujar beliau.

MBM turut mengucapkan terima kasih atas komitmen kerajaan untuk menyelenggara dan membaik pulih kemudahan belia dan sukan di seluruh negara. Langkah ini penting untuk memastikan belia mempunyai akses kepada fasiliti yang berkualiti bagi menjalankan aktiviti sihat dan produktif.

Justeru, Mohd Izzat Afifi menyeru agar belia Malaysia perlu bijak dalam mengurus peluang yang ada, menggunakan setiap peluang dengan cermat dan penuh tanggungjawab demi masa depan yang lebih baik.

“MBM komited untuk terus memainkan peranan dalam memastikan semua inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 memberikan impak positif dan berkekalan kepada golongan belia.

“Dengan semangat tema “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat”, belia akan terus menjadi pemacu utama kemajuan negara dan penggerak transformasi yang inklusif,” ujarnya.

Artikel penuh :

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »