Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik pengumuman drastik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bahawa semua kedai runcit, kedai serbaneka dan ubat tradisional Cina tidak dibenarkan menjual arak kecuali bagi tujuan ubatan tradisional bermula Oktober 2021. Ia merupakan satu langkah yang terbaik diambil oleh pihak DBKL dalam mengekang dan mengawal kemudahdapatan penjualan dan pengambilan minuman beralkohol serta kawalan keselamatan terutama kepada warga kota dan generasi muda.
MBM percaya melalui langkah dan pengenalan garis panduan ini akan serba sedikit berjaya mengawal isu kes pemandu mabuk yang semakin menjadi-jadi sejak akhir ini di samping mengekang dan mengawal gejala minum minuman keras di kalangan anak muda. Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), 1 Januari hingga 30 September tahun ini, sebanyak 163 pemandu ditangkap di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika dilihat kini, minuman keras amat mudah didapati kerana dijual di kedai runcit dan serbaneka tanpa kawalan. Semua sedia maklum bahawa kesan negatif minum minuman keras yang mana boleh mendatangkan banyak risiko kepada peminum dan merupakan satu amalan yang tidak sihat dan memudaratkan.
Melalui garis panduan ini juga, ia boleh mengelakkan pekerja muslim turut sama terlibat dalam penjualan minuman ini kerana majoriti yang bekerja di kedai runcit dan kedai serbaneka adalah daripada kalangan anak muda muslim. MBM juga berpendapat bahawa masyarakat bukan Islam masih lagi dibenarkan membeli minuman keras di premis yang diberikan lesen dan dibenarkan penjualannya oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara terkawal dan sebenarnya tiada masalah bagi mereka untuk mendapatkannya cuma langkah yang diambil kali ini adalah sebagai langkah menghadkan jualan minuman keras secara terbuka serta menjaga kesihatan semua lapisan masyarakat majmuk.
Usaha ini wajar disokong diberikan pujian. Harapan MBM agar garis panduan ini turut diguna pakai oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Negara. MBM menyeru kepada semua lapisan masyarakat khususnya pemimpin belia agar dapat melaporkan sebarang kesalahan yang dilakukan oleh kedai runcit dan serbaneka apabila garis panduan ini dikuatkuasakan kelak.
MUHAMMAD FADZLI HASAN
Timbalan Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 20 November 2020