Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030 yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini. DKN adalah pelan hala tuju bagi meningkatkan bilangan usahawan yang lebih berkualiti serta mempunyai pemikiran global dan kompetitif. Antara objektifnya bagi mewujudkan satu ekosistem keusahawanan holistik dan berdaya saing sehingga ke peringkat antarabangsa selain menjadikan sektor perniagaan sebagai kerjaya pilihan oleh rakyat Malaysia.
Dalam membangunkan sebuah negara keusahawanan, perkara paling penting adalah membentuk belia Malaysia yang mempunyai fikiran atau mindset dan semangat keusahawanan. MBM mahu melihat lebih ramai belia-belia menceburi bidang perniagaan tanpa mengira kaum dan usia.
Apabila berjaya menjadi negara keusahawanan, apa jua yang berlaku dalam ekonomi negara ia tidak menjejaskan pendapatan rakyat itu sendiri. Maksudnya rakyat mampu bertahan dan dalam masa yang sama usaha kementerian optimis sektor keusahawanan dapat meningkatkan ekonomi negara sehingga 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2030.
MBM berharap DKN dapat meningkatkan sumbangan sektor keusahawanan terutama berteraskan koperasi kepada KDNK pada masa depan.
Satu lagi aspek penting dalam keusahawanan adalah peluang dan ruang yang disediakan kepada para usahawan di mana Kementerian perlu menyediakan kemudahan geran dan pinjaman perniagaan di institusi kewangan seperti TEKUN, bank-bank dan MARA serta mewujudkan mikro kredit di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) bagi melahirkan usahawan belia sekaligus mencapai sasarannya.
Tidak lupa juga koperasi yang boleh memainkan peranan cukup besar dalam Negara kerana kita mempunyai 14,000 koperasi yang mampu menyumbang secara signifikan. Jika sekarang perolehan mereka sekitar RM40 bilion, maka kita sasarkan pada 2030 ia meningkat kepada RM60 bilion.
Sekiranya berjaya melahirkan usahawan yang berkualiti dan koperasi yang membabitkan orang awam maka ianya bakal menjadi penyumbang terpenting kepada ekonomi negara.
SYED OSMAN BIN MOHAMED
Pengerusi Biro Ekonomi, Usahawan
& Perindustrian
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 15 Julai 2019