Pengumuman YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim didalam Belanjawan 2023 berkenaan sokongan kerajaan terhadap ikhtiar untuk menyokong Generasi Penamat atau Generational Endgame (GEG) yang diumumkan adalah bertepatan untuk melindungi golongan generasi akan datang daripada terjebak dengan kegiatan buruk merokok khususnya produk merokok alaf baru seperti rokok elektronik dan vape.
Pengenaan duti eksais ke atas produk atau cecair bagi rokok elektronik dan vape disambut baik namun percukaian semata-mata tanpa kawalan ketat terutamanya terhadap pengiklanan dan promosi produk merokok akan menyebabkan produk-produk merokok yang merbahaya ini berleluasa tanpa kawalan.
Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik cadangan pihak kerajaan bahawa separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan sebagai usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.
Menurut kajian Adolescent Health Survey yang telah dijalankan oleh pihak KKM pada tahun 2017 dan 2022 menunjukkan peningkatan dalam peratusan penggunaan rokok elektronik yang semakin kritikal, di mana keseluruhan pengguna rokok elektronik dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun meningkat kepada 14.9% pada 2022 berbanding 9.8% pada tahun 2017.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan kajian saintifik yang telah dikeluarkan mendapati bahawa cecair di dalam rokok eletronik membawa kemudaratan kepada kesihatan yang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan terutamanya EVALI (e-Cigarette or Vaping Product Use Associated Lung Injury). Perkara ini sangat membimbangkan memandangkan peningkatan yang ketara dalam jumlah pengguna rokok eletronik terutama dalam kalangan remaja.
Dalam masa yang sama, MBM juga menggesa agar Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang tertangguh sejak Oktober 2022 dibentangkan semula di Dewan Rakyat Mac ini.
Rokok elektronik atau vape bukan jalan penyelesaian kepada masalah ketagihan rokok konvensional sebaliknya ia juga akan menyebabkan masalah kesihatan. Kebanyakan perokok dikenalpasti sebagai dwi pengguna di mana mereka merupakan pengguna rokok konvensional dan juga pengguna rokok elektronik atau vape.
Program berbentuk advokasi – Road Show Gegar Belia Generational End Game yang dimeriahkan dengan perlawanan persahabatan badminton telah diadakan di peringkat negeri Selangor pada 28 Februari 2023 sebagai tanda sokongan MBM kepada kempen GEG ini. Kempem dan Road Show ini akan menyusul di beberapa tempat seperti Wilayah Persekutuan, Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan.
HASNUL HANIFF BIN HARUN
Setiausaha Agung,
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 1 Mac 2023