MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM SAMBUT BAIK CADANGAN PROGRAM MAKANAN PERCUMA PELAJAR SEKOLAH

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik cadangan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik memperkenalkan program sarapan pagi percuma kepada pelajar-pelajar sekolah rendah bermula tahun hadapan. Inisiatif ini dilihat sebagai satu program serampang dua mata yang amat baik bagi menggalakkan kehadiran pelajar ke sekolah dan memastikan mereka mendapatkan nutrisi terbaik untuk tumbesaran dan galakan minda untuk melalui sesi pembelajaran.

MBM amat gembira dengan pengumuman ini yang merupakan satu program baik bagi membantu bukan sahaja golongan kurang berkemampuan di luar bandar malahan golongan keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan di bandar yang mendapat manfaat daripada usaha ini. MBM beranggapan, masih terdapat ramai di kalangan pelajar datang ke sekolah dalam keadaan lapar dan tidak bersarapan kerana perlu membelanjakan wang mereka bagi pengangkutan ke sekolah, keperluan pembelajaran dan kelas selain menyimpan dalam tabung simpanan pelajaran mereka. 

Inisiatif ini pastinya meringankan beban ibu bapa yang tertekan dengan kos sara hidup lebih-lebih lagi mereka yang berpendapatan rendah dan mempunyai anak ramai. Sudah pasti mereka tidak mampu menyediakan makanan mengikut diet yang sesuai bagi kesemua anak-anak setiap hari.

Namun begitu, bukan makanan enak sahaja yang perlu ditekankan nutrisi mengikut keperluan tubuh badan bagi tumbesaran murid-murid. Ianya penting bagi memastikan nutrien yang dihadam membangkitkan kecerdasan dan kecergasan pada minda dan fizikal murid-murid. MBM percaya pihak Kementerian Pendidikan Malaysia juga cakna dengan keperluan mikronutrien yang seringkali kurang diambil oleh murid-murid dalam proses tumbesaran mereka seperti kalsium, zat besi, zink, folat dan iodin. 

Jawatankuasa yang ditubuhkan diharapkan dapat mengumpul maklumat secara menyeluruh yakni bukan sahaja dari kalangan kementerian-kementerian, PIBG dan hasil kaji selidik, malah melibatkan NGO yang terlibat dengan pelajar dalam kaedah memastikan para pelajar kekal cerdas dan cergas selain daripada berusaha mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam pelajaran.

MUHAMMAD SHERHAN NIZAM ABDUL AZIZ

Naib Presiden

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 30 Ogos 2019

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »