MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM: Pindaan Auku ubah sistem jumud

ZULAIKHA ZULKIFLI
26 Januari 2012
SHAH ALAM – Majlis Belia Malaysia (MBM) berpendapat bahawa pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti  (Auku) merupakan  satu proses transformasi yang dapat mengubah satu sistem yang jumud sekian lama.

Presidennya, Mohamad Maliki Mohd Rapiee berkata, pindaan ini juga membuktikan bahawa Auku tidak akan terus kekal begitu dan ia disesuaikan dengan persekitaran dan semasa.

“Perlu ada satu akta menyeluruh yang diurus tadbir oleh sistem dan universiti mengikut kaedah dan persekitaran negara. Pada saya, perlu ada satu proses mekanisme dalam kehidupan.

“Sebab itu Auku kini dalam pindaan. Buat masa ini kami percaya perlu adanya Auku,” katanya menjawab soalan daripada moderator Amin Idris pada Wacana Sinar Siri ke-10 anjuran Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.

Amin bertanyakan soalan mengapa Auku perlu ada sedangkan setiap universiti mempunyai akta mereka tersendiri.

Selain itu, beliau berkata, Auku bukan sahaja melibatkan kebebasan bersuara, tetapi ia termasuk seluruh dunia akademik.

Justeru, katanya di Malaysia masih perlu satu pusat sumber yang terancang dan terkawal bagi memastikan kelancaran mekanisme terhadap sesuatu perkara.

Dalam pada itu, Maliki turut bersetuju bahawa perlunya beri hak berpartisipasi dalam politik dengan sekurang-kurangnya menjadi ahli parti kepada mahasiswa.

Jelasnya, ia penting bagi memastikan mahasiswa terlibat dalam pembangunan negara.

“Kalau mahasiswa di luar negara boleh tubuhkan kelab Umno luar negara dan boleh terlibat dalam parti tetapi mahasiswa dalam negara pula di asingkan, ini perlu diberi perhatian,” katanya.

Selain itu, Maliki berkata, mahasiswa juga perlu mempunyai rasa tanggungjawab di atas setiap tindakan yang dilakukan dan menyuarakan pandangan di atas platform yang berdaftar.

Beliau berpandangan bahawa realitinya golongan muda tidak dapat menyuarakan pandangan terus pada negara.

Justeru melalui satu badan yang berdaftar, ia dapat disampaikan.

“Sebagai golongan muda pastinya akan lantang bersuara dan suara itu tidak akan ‘mati’ begitu sahaja. Golongan muda perlu kuat dan berdiri di atas landasan yang betul serta mempunyai keberanian dalam menyuarakan pendapat.

“Saya yakin dengan kematangan orang muda. Bukan sahaja dalam dunia mahasiswa, malah di luar universiti pun mereka mampu mengawal diri. Bagaimanapun, setiap tindakan yang dilakukan perlu ada tanggungjawab.

“Golongan muda perlu matang. Mereka juga jika ingin menyuarakan pandangan, diharapkan berdiri di atas persatuan yang berdaftar. Apa yang membezakan antara setiap mahasiswa universiti itu ialah cara mereka bercakap dan berfikir. Ia menunjukkan sama ada mereka mampu menjadi pemimpin atau tidak,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/mbm-pindaan-auku-ubah-sistem-jumud-1.20328

 

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »