MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM mohon pertimbang e-wallet diperluas

Majlis Belia Malaysia (MBM) mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan dalam melaksanakan program E-Belia yang diumumkan bermula 1 Jun 2021. Inisiatif ini bakal menggalakkan lagi budaya masyarakat cashless (Cashless Society). Sedar atau tidak, fenomena cashless merupakan sebuah ‘multiplier effect’ dari transformasi budaya industri masyarakat dunia yang berasaskan kepada teknologi. Kita saat ini berada pada sebuah ekosistem ekonomi yang disebut sebagai revolusi industri 4.0. Dalam ekosistem ini terdapat pelbagai bentuk pemacu ekonomi yang berinovasi dan kreatif, sehingga melahirkan populasi start-up yang begitu hebat, dan merangsang kitaran transaksi kewangan bersepadu yang moden.

Namun dari sisi lain, MBM melihat terdapat kelompongan dalam menyampaikan inisiatif ini kepada belia bersasar. Oleh itu, MBM memohon agar pihak kerajaan dapat mempertimbangkan untuk diperluaskan lagi pemberian E-Wallet melalui pakej Program E-Belia sehingga belia di peringkat umur 25 tahun atau 30 tahun. Program E-Belia yang ditawarkan kepada belia berumur 18 hingga 20 tahun perlu diperhalusi semula kerana majoriti belia berumur 25 hingga 30 tahun masih dalam tempoh pembelajaran di Institut Pengajian Tinggi (IPT) selain mereka kini berada dalam tempoh sukar menjana sumber pendapatan memandangkan musim Covid-19 masih belum menampakkan titik noktah.

Adalah dicadangkan agar Program E-Belia ini dapat disasarkan bukan hanya pada belia pengajian tinggi sahaja, tetapi dapat juga kepada keseluruhan kelompok-kelompok belia yang lain sepertimana yang termaktub di dalam Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015. Antaranya merangkumi belia berkerjaya, perkumpulan belia, belia Malaysia antarabangsa, belia berisiko, belia minoriti dan golongan terpinggir. Terdapat juga di kalangan mereka ini tergolong dalam kelompok belia resah yang masih mencari asas yang kukuh dalam kehidupan. Sebagai contoh belia yang masih mencari peluang pekerjaan, belia yang berdepan risiko dibuang kerja, belia yang berada dalam peringkat awal bidang keusahawanan serta banyak lagi. Dalam keadaan ekonomi yang semakin mendesak ketika ini, MBM mengharapkan agar pihak kerajaan dapat menyantuni semua kelompok ini dalam kaedah agihan bantuan melalui program seumpama ini.

MBM juga berharap belia yang memperoleh manfaat daripada program ini dapat menggunakannya sebaik mungkin. Perbelanjaan mestilah dibuat dengan bijak dan berhemah supaya beroleh manfaat yang sebaiknya. MBM yakin inisiatif ini bakal memperluaskan lagi budaya ‘cashless society’ yang amat bermanfaat terutama dalam situasi norma baharu ketika ini.

WAN MOHD HUSNI ABDULLAH

Ketua Penerangan

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 20 Mei 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »