Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diumumkan kerajaan secara tidak langsung telah memberi kesan besar terutamanya kepada sektor perniagaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mengharungi pandemik ini yang menyaksikan peningkatan kes harian kekal mencatat empat angka. Melihat kepada situasi ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) melihat tempoh menangani pandemik ini mungkin memakan masa lebih panjang dan dijangka memerlukan 2 hingga 6 minggu lagi.
Berdasarkan kesan pelaksanaan PKP 1.0 dan PKP 2.0 telah menyebabkan ramai peniaga terutamanya usahawan kecil terpaksa gulung tikar selain tidak kurang juga yang kehilangan pekerjaan. Malah, terdapat pekerja yang diarahkan bekerja dari rumah dikenakan potongan gaji sehingga hampir separuh. Ini semua sudah pasti akan memberi kesan tidak sihat kepada situasi kewangan mereka yang terlibat.
Berikutan kesan yang menekan sebahagian besar rakyat ketika ini, MBM memohon agar Kerajaan melalui Kementerian Kewangan mengumumkan langkah pelaksanaan moratorium secara automatik sebagai salah satu kaedah membantu kelompok yang terkesan selain membantu ekonomi masyarakat.
Walaupun Kerajaan telah mengumumkan pelbagai inisiatif di bawah pakej PEMERKASA, PERMAI dan PRIHATIN namun MBM beranggapan pemberian moratorium ini sudah pasti akan melegakan majoriti kelompok rakyat yang terikat dengan pelbagai pinjaman dari pihak bank.
MBM percaya bahawa Kerajaan memang menitikberatkan soal ekonomi rakyat di ketika pandemik di samping langkah-langkah untuk mengatasi kes jangkitan yang agak tinggi di ketika ini.
MBM juga mengambil serius akan risiko rakyat yang berhadapan dengan CTOS dan CCRIS dan kemungkinan besar disenaraihitamkan. Untuk rekod, semasa PKP 1.0, Bank Negara Malaysia (BNM) telahpun memberikan kelonggaran tetapi bagaimana pula dengan PKP 3.0?, BNM perlu membuat ketetapan segera. Tambahan pula, laporan kewangan tahunan menyaksikan institusi kewangan mencatatkan keuntunggan malah pelaksanaan moratorium ini tidak memberi impak negatif kepada bank-bank.
Sehubungan itu, MBM sekali lagi meminta Kerajaan menimbangkan dan menawarkan semula inisiatif moratorium keseluruhan secara automatik. MBM percaya bahawa pengumuman ini semestinya akan mengembirakan hati rakyat dalam menempuh cabaran getir ketika ini di samping memberi peluang kepada mereka dalam merancang kewangan dengan lebih selesa.
WAN MOHD HUSNI ABDULLAH
Ketua Penerangan
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 14 Jun 2021