MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM MENYOKONG GERAKAN #UNDI18

1. Pada 4 Julai 2019 iaitu khamis minggu ini, Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijadualkan membentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen satu pindaan kepada Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, iaitu menyatakan kelayakan pemilih bagi memilih di dalam pilihan raya di Malaysia. Di dalam pindaan yang bakal dibentangkan ini, umur bagi pemilih akan diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun. 

2. Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai badan induk pertubuhan belia di Malaysia menyokong sepenuhnya usaha kerajaan didalam meminda had umur pemilih daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Sokongan ini juga adalah selari dan konsisten dengan sokongan yang telah dinyatakan sebelum ini oleh mantan Presiden MBM, Sdr. Muammar Ghaddafi Jamal Jamaluddin semasa Ucapan Dasar Presiden MBM di Majlis Perhimpunan Agung Tahunan MBM kali ke-67 pada 5 Oktober tahun 2018. 

3. MBM berpendapat bahawa sudah sampai masanya anak muda di Malaysia diberi hak yang sama seperti mana warganegara yang lain. Hak untuk mengundi adalah salah satu hak asasi yang terpenting bagi setiap warganegara didalam sesebuah negara dan yang satu-satunya yang membezakan seorang itu adalah warganegara dan bukan warganegara. 

4. MBM juga berpendirian bahawa pindaan ini adalah selari dengan Akta Umur Dewasa 1971 yang mana Seksyen 2 Akta berkenaan telah menetapkan bahawa umur 18 adalah umur dewasa di Malaysia. Oleh hal yang demikian, setiap warganegara dewasa sepatutnya diberi hak yang sama untuk sama-sama menentukan masa depan negara yang tercinta ini. 

5. Selain itu, ini adalah selari dengan amalan demokrasi di negara-negara yang lain yang mana telah menetapkan umur pemilih pada umur 18. Hanya 9 negara diseluruh dunia yang mana masih meletakkan umur mengundi pada umur 21 tahun, manakala majoriti negara di dunia telah menurunkan umur mengundi antara 16 tahun hingga 18 tahun. Maka wajarlah Malaysia sebagai sebuah negara yang sudah mempunyai demokrasi yang matang untuk turut sama mengambil langkah kearah menurunkan umur pemilih sepertimana amalan negara-negara yang lain. 

6. Dan ke arah perubahan besar ini, yang mana akan mengangkat jutaan belia sebagai pemilih pada pilihanraya akan datang, MBM juga menyeru kepada kerajaan untuk menyediakan belia dengan pendidikan demokrasi dengan secukupnya. Pendidikan yang memberi pendedahan kepada perjalanan demokrasi dan pilihan raya di negara ini hendaklah diberikan seawal mungkin agar belia yang akan menjadi pemilih kali pertama pada pilihan raya akan datang sudah bersedia dan mampu untuk menjalankan amanah dengan penuh rasa tanggungjawab. Di pihak MBM pula, kami sudah mula mengorak langkah berkenaan dengan mewujudkan program Sekolah Politik MBM untuk memberi pendedahan berkenaan pendidikan demokrasi kepada belia khususnya ahli di dalam persatuan belia. Diharapkan agar satu usaha untuk melihat semula kurikulum di sekolah berkenaan pendidikan demokrasi diadakan dengan sesegera mungkin oleh kerajaan.

7. MBM juga menyeru agar perubahan untuk memperkasakan belia ini tidak akan berhenti setakat ini. MBM menuntut agar Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan juga seharusnya dipinda sama bagi menurunkan umur bagi menjadi sebagai seorang ahli Parlimen daripada 21 tahun kepada 18 tahun. Ini bagi memastikan suara anak muda tidak didengar melalui undi semata-mata, bahkan suara anak muda didengari sama didalam Parlimen itu sendiri. 

8. Bagi belia pula, antara kebaikan lain selain layak untuk mengundi, sudah tentunya kebajikan belia dan anak muda akan menjadi keutamaan dan tidak lagi boleh dipandang silu dalam setiap kali pilihan raya samada pilihanraya kecil atau pilihan raya umum. Parti politik yang bertanding sudah tentu akan memberikan keutamaan kepada kebajikan belia dalam setiap manifesto serta akan berusaha menempatkan seramai mungkin calon dari belia untuk menarik undi belia kepada mereka. 

9. MBM percaya belia Malaysia sudah bersedia untuk menjadi sebagai pemilih dan sama-sama menentukan untung nasib negara ini. Belia pada hari ini belia yang cakna kepada politik semasa, samada dalam dan luar negara, dan mampu membezakan politik yang membawa kebaikan kepada negara atau sebaliknya. 

10. Sekiranya belia pada umur 18 tahun sudah diberi kebebasan untuk menentukan hidup mereka dan membuat keputusan penting dalam kehidupan seperti berkahwin, membuat perjanjian yang mengikat mengikut undang-undang, serta boleh dianggap sebagai cukup dewasa di mata undang-undang, kenapa tidak mereka diberi hak untuk menentukan nasib negara ini dengan mengundi?

11. MBM menyokong gerakan #Undi18 dan menyeru semua Ahli Parlimen untuk turut sama meyokong usaha pindaan ini. Anak muda memerhati kalian!

JUFITRI BIN JOHA

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Tarikh      : 1 Julai 2019

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »