KENYATAAN MEDIA
SDR. MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE
PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA
MBM MENYOKONG DAN MENYANJUNGI KEBIJAKSANAAN KERAJAAN DALAM MENANGANI PERHIMPUNAN HARAM BERSIH
Majlis Belia Malaysia (MBM) merakamkan penghargaan kepada semua pihak khususnya pihak berkuasa yang berjaya mengawal dan memberi kawalan sebaik mungkin dalam isu perhimpunan haram yang yang dimulakan oleh pihak Gabungan Pilihanraya Bersih Dan Adil (BERSIH) baru-baru ini.
Tindakan pihak berkuasa sebenarnya telah berjaya mengekang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku ekoran perhimpunan yang diadakan di tempat-tempat tumpuan masyarakat terutamanya di sekitar ibu kota.
Kita merasa amat bersyukur kerana keadaan masih terkawal dan tidak dapat membayangkan apa akan terjadi sekiranya perhimpunan ini gagal ditangani dan sebaliknya.
MBM juga merasa kesal yang amat sangat terhadap pihak-pihak yang tidak mahu mematuhi arahan pihak berkuasa dan telah menyanggah titah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.
Sebagai sebuah negara yang mengutamakan nilai-nilai sumber watan yang penuh beradab dan bercirikan kemuliaan, perhimpunan seumpama tidak sepatutnya berlaku apatah lagi kumpulan yang menyertai perhimpunan haram ini terdiri dari golongan terpelajar dan mempunyai pengaruh dalam masyarakat.
MBM juga bersimpati dengan masyarakat terhadap nasib orang ramai yang menanggung musibah seperti kesesakan jalan raya, gangguan terhadap perniagaan dan sebagainya ekoran perhimpunan haram tersebut.
Harus difahami, negara telah membuang banyak sumber dan masa hanya untuk menangani tindakan yang sia-sia seperti ini.
Oleh demikian, MBM menyokong tindakan pihak berkuasa dalam menangani usaha tersebut dan dalam masa sama, MBM tidak menyokong mana-mana pihak atau individu yang berdegil dan tidak menghormati undang-undang negara.
MBM menggesa kerajaan (menguatkuasakan peruntukan) menggunakan undang-undang sedia ada sepenuhnya agar situasi seperti ini dapat dibendung pada masa akan datang.
Sekian, terima kasih.
Sdr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 10 Julai 2011