KENYATAAN MEDIA
MBM MENYANJUNG RASA PRIHATIN MALAYSIA DAN INDONESIA
TERHADAP PELARIAN BANGLADESH DAN ROHINGYA
Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik persetujuan Kerajaan Malaysia dan Indonesia memberi perlindungan sementara dan bantuan kemanusian kepada migran Rohingya dan Bangladesh selepas satu mesyuarat bersama antara kerajaan Malaysia, Indonesia dan Thailand hari ini.
MBM melihat ini adalah usaha murni kedua negara jiran dalam menjunjung tinggi prinsip kemanusiaan dan menyelamatkan nyawa manusia sebagai satu keutamaan. Bagi pihak MBM kedua prinsip ini penting dalam membina rantau ASEAN yang kukuh semangat setiakawan bagi membina rantau yang aman dan sejahtera.
Tindakan Kerajaan Malaysia mengadakan mesyuarat bersama Malaysia, Indonesia dan Thailand melibatkan Menteri Luar masing-masing sangat dipuji. Usaha ini perlu diperluaskan lagi hingga ke peringkat ASEAN keseluruhannya dalam membawa isu pelarian, isu kemanusiaan dan isu berkaitan keselamatan sempadan dapat dituntaskan.
MBM berpandangan bahawa permasalahan ini memerlukan usaha penyelesaian jangka panjang dan harus dilihat kepada akar masalah secara bersungguh-sungguh oleh negara terbabit. MBM menaruh harapan terhadap “Mesyuarat Khas menangani Migrasi Tidak Teratur di Lautan Hindi” pada 29 Mei ini berjaya menghasilkan penyelesaian konkrit. MBM amat kesal apabila isu ini dianggap ‘tidak perlu untuk dibincangkan’ atau ia sebagai bahan ugutan terhadap syarat kehadiran mana-mana negara dalam forum serantau ini.
MBM juga menegaskan agar Kerajaan Myanmar mengambil tanggungjawab penuh atas apa yang berlaku dan tidak membiarkan perkara ini menjadi masalah kepada negara jiran. Hakikat ini bukanlah bermakna mencampuri ‘urusan dalaman negara’ tetapi masalah ini sudah menjadi masalah serantau malah isu komuniti dan kemanusiaan sejagat.
Sekian, terima kasih.
AHMAD SAPARUDIN YUSUP
Setiausaha Agung
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 20 Mei 2015