Majlis Belia Malaysia (MBM) amat berterima kasih dan menyokong inisiatif yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi baru-baru ini yang mana usahawan belia dan ibu tunggal B40 akan menerima manfaat inisiatif pendaftaran perniagaan secara percuma melalui agensinya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi menghadapi pandemik CoVid 19.
Inisiatif ini secara tidak langsung akan menggalakkan golongan belia dan ibu tunggal B40 untuk lebih ramai menceburi bidang perniagaan dan seterusnya akan membantu mengukuhkan ekonomi dan menambah pendapatan mereka dalam menampung kehidupan seharian.
Semua sedia maklum bahawa pandemik Covid-19 sememangnya memberi kesan ketara terhadap semua masyarakat, terutamanya golongan belia yang merupakan majoriti. Sekurang-kurangnya melalui kemudahan dan inisiatif ini, ia dapat membantu golongan ini dalam meneruskan hidup di era pandemik ini.
MBM berharap lebih banyak lagi kemudahan dan inisiatif dapat diumumkan oleh pihak kerajaan terutamanya melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC). Terdapat pelbagai agensi di bawah MEDAC yang boleh dimanfaatkan oleh para usahawan yang masih ramai tidak tahu kewujudannya. MBM juga sedang merancang untuk melaksanakan secara bersama dengan MEDAC dalam soal kesedaran keusahawanan dan jika inisiatif yang ditawarkan melalui SSM ini digabungkan sekali maka ia merupakan satu langkah yang sangat bagus dalam menggalakkan lebih ramai golongan masyarakat terlibat dalam bidang keusahawanan.
Seharusnya juga, golongan yang terkesan tidak melepaskan peluang ini dan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dalam menjana pendapatan.
MBM sebagai badan utama pertubuhan belia akan mengikut rapat dan berbincang dengan pihak-pihak berkepentingan bagi membantu golongan belia khususnya dalam hal pembangunan dan kelangsungan hidup golongan ini. MBM akan sentiasa menyokong dan menyambut baik selagi mana inisiatif yang diumumkan membawa kebaikan bersama kepada semua masyarakat.
Syed Osman Mohamed
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian Ekonomi dan Keusahawanan
Majlis Belia Malaysia
Tarikh : 18 Disember 2020