MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM MENGUTUK TINDAKAN BIADAP WONG YAN KE, CADANG IJAZAH DITAHAN DAN MOHON MAAF SECARA TERBUKA KEPADA NAIB CANSELOR

Majlis Belia Malaysia (MBM) mengutuk tindakan biadap graduan Universiti Malaya (UM), Wong Yan Ke pada majlis istiadat konvokesyen universiti berkenaan baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, beliau mengangkat plakad bertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ di hadapan tetamu dan pentadbir tertinggi UM yang mengejutkan banyak pihak.

MBM menyifatkan tindakan itu sebagai mencemarkan suatu istiadat dan protokol yang seharusnya dihormati oleh semua pihak. Tindakan pelajar terbabit menunjukkan kerendahan moral dan nilainya sebagai seorang yang terpelajar dan menjejaskan nama baik universiti pada masyarakat umum. Penggunaan istilah ‘kebebasan bersuara’ tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan tanpa batasan dan perlulah mengikut saluran yang betul.

Semua warganegara perlulah mendokong dan mengamalkan prinsip Rukun Negara “Kesopanan dan Kesusilaan” bagi menjamin keharmonian negara.

MBM mendesak agar pentadbiran UM memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya termasuklah menahan Sijil Ijazah Sarjana Muda pelajar berkenaan sehingga permohonan maaf kepada Naib Canselor UM, Datuk Ir. Abdul Rahim Hashim dibuat. MBM berpandangan bahawa pelajar tersebut dan pihak universiti perlu duduk semeja bagi mengetahui keluh kesah beliau yang dikatakan sebagai mewakili suara mahasiswa.

MBM menggesa pihak pentadbiran universiti di negara ini supaya mengeluarkan garis panduan dan tindakan tata tertib yang lebih tegas kepada semua pelajar agar perkara seumpama ini tidak berulang dan menjadi teladan.

WAN MOHD HUSNI ABDULLAH

KETUA PENERANGAN

MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh : 16 Oktober 2019

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »