MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM Mengecam Elemen Provokatif: Henti Tindakan Membakar Api, Jaga Adab dan Perpaduan Negara

Majlis Belia Malaysia (MBM) mengecam keras tindakan tidak beradab dan derhaka yang berunsur menghina Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor melalui kandungan jelik di media sosial mutakhir ini. Perbuatan sedemikian bukan sekadar keterlanjuran kata atau gurauan melampau, tetapi satu bentuk provokasi yang mencabar kemuliaan Institusi Diraja, menyentuh sentimen sensitif masyarakat dan berpotensi menggugat keharmonian negara.

MBM mengambil kesempatan untuk mengingatkan orang ramai, khususnya warga belia, agar tidak terlibat dalam sebarang tindakan yang menghina Raja-Raja Melayu, sengaja membakar sentimen kaum dan agama, atau menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan kemarahan awam. Kebebasan bersuara wajib dipandu oleh undang-undang, adab dan rasa tanggungjawab. Justeru, pihak berkuasa termasuk PDRM dan SKMM digesa menyiasat segera pihak yang terlibat, sama ada pembuat kandungan, pemuat naik asal, pentadbir akaun mahupun penyebar utama.

MBM turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mengulang siar atau berkongsi semula imej penghinaan tersebut, walaupun atas alasan mengecam. Tindakan sebegitu hanya memanjangkan hayat provokasi dan menambahkan luka terhadap institusi yang sepatutnya dihormati. Dalam masa yang sama, isu ini tidak wajar dijadikan modal untuk menyalakan kebencian antara kaum, agama atau fahaman politik kerana kesalahan individu tidak boleh dipalitkan kepada mana-mana komuniti.

Belia Malaysia wajib menjadi benteng adab, perpaduan dan kedaulatan negara. Dalam zaman media sosial yang serba pantas, keberanian bersuara mesti disertai kebijaksanaan, disiplin diri dan rasa hormat terhadap institusi negara.

MBM menyeru warga belia supaya tampil sebagai generasi yang matang, berhemah dan berjiwa kenegaraan. Pendidikan adab, tatasusila, literasi digital, kefahaman Rukun Negara, prinsip Raja Berperlembagaan dan semangat perpaduan perlu diperkukuh di semua peringkat. Belia Malaysia mesti menjadi benteng kewarasan dan keharmonian, bukan ejen provokasi yang merosakkan negara.

MBM akan terus berdiri teguh mempertahankan kemuliaan Institusi Diraja, keharmonian masyarakat majmuk dan perpaduan nasional sebagai asas kestabilan Malaysia

BELIA BERTINDAK DEMI KEBENARAN DAN KEADILAN

SYAFIQ RIDZWAN JAMALUDDIN

KETUA PENERANGAN

MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh : 28 April 2026

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »