KUALA LUMPUR 7 Oktober – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah terlibat dalam “Bengkel Pengisian Modul Pengantarabangsaan Kerja Belia” yang dianjurkan oleh Pusat Belia Antarabangsa (IYC).
Presiden MBM, Sdr. Jufitri Joha dan Felo Penyelidik MBM, Sdr. Fauzi mewakili MBM manakala Puan Zaleha mewakili The Committee of Asean Youth Cooperation (CAYC) ke Bengkel dua hari ini berlangsung di Bilik Chempaka, IYC. Selain MBM, bengkel ini melibatkan pemegang taruh pekerja belia seperti IYC, MyCorps dan Asian Youth Council (AYC).
Matlamat akhir bengkel ini adalah untuk membentuk “Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS)” dalam bidang Pembangunan Profesionalisme Pekerja Belia.
Sepanjang perbincangan bengkel ini, MBM bersama pemegang taruh pekerja belia telah berjaya membentuk 20 modul pembelajaran kerja belia yang dibahagikan kepada 12 modul teori dan 8 modul amali.
Draft NOSS kerja belia ini akan diperhalusi dalam bengkel kedua pada 16 Oktober 2019 bertempat di IYC.
NOSS kerja belia ini dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2019 dan akan diserahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) untuk proses seterusnya.
MBM akan terus mendokong usaha baik ini dan berharap semua pemegang taruh pekerja belia dapat terus dilibatkan dalam proses pembentukan NOSS kerja belia ini sehingga ke peringkat akhir.