MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM MEMBANTAH SEBARANG USAHA PELAKSANAAN LESEN FINAS KEPADA PENGAMAL MEDIA SOSIAL

Majlis Belia Malaysia (MBM) membantah pelaksanaan lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang dikenakan kepada pemain media sosial yang ingin menghasilkan karya filem pendek atau seni kreatif konten melalui ucapan YB Dato’ Saifuddin Abdullah pada 23 Julai 2020 di Parlimen.

Anak muda mempunyai pelbagai idea dan kreativiti untuk menghasilkan sesuatu melalui bidang seni kreatif konten. Penglibatan ramai dalam dunia seni kreatif konten ini adalah sebahagian besarnya golongan muda.  MBM yakin kebanyakan anak muda tidak bersetuju dengan pelaksanaan mengenakan bayaran lesen kepada FINAS adalah kerana :

  1. Modal minimum untuk memohon lesen FINAS berjumlah RM50,000
  2. Jika dibayar lesen apakah Inisiatif / geran kerajaan sediakan?
  3. Menyekat kebebasan berkarya dalam penghasilan seni kreatif konten

Untuk pengetahuan semua, video untuk dimuatnaik ke dalam media sosial sudahpun mempunyai terma dan syaratnya. Sebagai contoh jika dimuatnaik video di dalam youtube dengan menggunakan sebarang muzik atau video tanpa kebenaran, pihak youtube sendiri akan memaklumkan bahawa video yang dimuatnaik tersebut dikenakan tuntutan hak cipta.

Kerjaya sebagai youtuber sebagai contoh telah membantu merancakkan ekonomi digital anak muda dan patut terus digalakkan oleh pihak Kerajaan apatah lagi pasca Covid-19, bukannya menghadkan usaha rakyat mencari wang sendiri dengan perlesenan sebegini.

Dalam dunia digital, pengamal dan pengguna media digital hanya memerlukan panduan dan etika penyiar yang betul bukannya perlu mengambil lesen kerana ianya sangat tidak praktikal. Ibarat menyekat kemaraan laut yang menghempas pantai.

Justeru itu, menjadi harapan MBM yang mewakili suara anak muda Malaysia, memohon supaya dipertimbangkan untuk tidak melaksanakan bayaran lesen kepada FINAS. MBM menyambut baik keputusan Kabinet hari ini untuk tidak mengenakan lesen kepada pengguna media sosial bebas dan MBM membantah sebarang usaha ke arah perlesenan kepada mereka tanpa sebarang perundingan dan persetujuan bersama.

Di kesempatan ini, pihak MBM ingin mencadangkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) seperti berikut:

  1. Menyediakan modul meningkatkan kemahiran membuat video/seni kreatif seperti menubuhkan Pusat Media Belia atau Youth Media Center di setiap negeri untuk mengasah bakat golongan anak muda untuk kreatif konten;
  • Memberi pengiktirafan kepada anak muda yang memperolehi kejayaan dengan karya seni kreatif mereka;
  • Menyediakan platform geran kepada anak muda yang ingin mengembangkan karya seni kreatif / video mereka;
  • Memperluaskan lagi prasarana dan kemudahan jalur lebar 4G sehingga ke kawasan pendalaman; dan
  • Memperbanyakkan dokumentari perjalanan konten start up untuk Malaysia.

JUFITRI JOHA

Presiden        

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 24 Julai 2020

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »