KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) meminta kerajaan menawarkan semula inisiatif moratorium secara automatik dan memberikan potongan atau diskaun bagi bil utiliti.
Ketua Penerangan MBM, Wan Mohd Husni Abdullah, berkata inisiatif itu sekurang-kurangnya membantu masyarakat terutama ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali di Sarawak.
“Pertimbangan itu disifatkan wajar berikutan masyarakat berada lebih lama di rumah, selain pembudayaan norma baharu dalam sektor pendidikan melalui konsep Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Ini kerana MBM percaya dengan inisiatif sedemikian ia akan melegakan rakyat dalam menghadapi cabaran ketika ini, selain memberi peluang masyarakat merancang kewangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Mohd Husni berkata, pelaksanaan PKP ketika ini secara tidak langsung memberi kesan terutama kepada sektor perniagaan kecil dan sederhana (PKS) mengharungi pandemik COVID-19, selain situasi peningkatan kes sehingga empat angka.
“Melihat situasi dan catatan harian kes dilihat semakin tinggi, kerajaan dijangka memerlukan masa lebih panjang iaitu enam hingga tujuh bulan lagi untuk melaksanakan langkah penyelesaian sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, berlandaskan pengalaman ketika PKP Mac tahun lalu, banyak peniaga terpaksa gulung tikar dan ramai hilang pekerjaan, selain pekerja diarahkan bekerja dari rumah serta dipotong gaji hingga hampir separuh.
“Tindakan sedemikian memberi kesan kepada kewangan semasa semua rakyat terbabit.
“Jadi, kerajaan perlu memikirkan inisiatif berkesan bagi membantu ekonomi masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Wan Mohd Husni, berkata beberapa inisiatif di bawah Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) memperlihatkan kesinambungan kepada inisiatif terdahulu yang pernah diumumkan menerusi bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
“Jadi, inisiatif moratorium adalah langkah terbaik membantu rakyat dan perlu ditawarkan secara automatik kepada semua masyarakat kerana kami percaya majoriti rakyat memerlukannya,” katanya.
Artikel penuh: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/780041/mbm-mahu-kerajaan-beri-moratorium-diskaun-bil-utiliti