MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM lancar tabung bantu Filipina

KUALA LUMPUR 15 Nov. 2013 – Majlis Belia Malaysia (MBM) menyeru semua pihak menyalurkan sumbangan berbentuk kewangan dan barangan menerusi Tabung Kemanusiaan MBM bagi meringankan beban mangsa Taufan Haiyan di Filipina.

Presidennya, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, pihaknya menyasarkan mengumpul sebanyak RM50,000 menerusi tabung itu untuk diserahkan kepada pihak berwajib di negara tersebut selewat-lewatnya hujung bulan ini atau awal bulan depan.

Menurutnya, MBM terpanggil bersama-sama masyarakat antarabangsa menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana alam itu atas semangat komuniti ASEAN dan kemanusiaan.

“Bantuan dalam bentuk kewangan lebih diutamakan. Walau bagaimanapun, sumbangan dalam bentuk barangan seperti air mineral, selimut, pek makanan dan keperluan asas perubatan juga boleh dibuat dan dihantar terus ke pejabat kami,” katanya dalam sidang akhbar sempena Pelancaran Tabung Kemanusiaan MBM Bagi Misi Bantuan Bencana Taufan Haiyan We Care Filipino, di sini hari ini.

Menurutnya, kumpulan pertama misi kemanusiaan MBM yang disertai 10 orang akan ke Filipina dalam masa terdekat bagi menyerahkan bantuan tersebut.

Katanya, MBM ketika ini juga sedang mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa di Filipina bagi melancarkan perjalanan misi tersebut.

“MBM akan bekerjasama dengan rakan-rakan jaringan belia peringkat ASEAN seperti Majlis Kerjasama Belia ASEAN (CAYC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara berkenaan bagi mempermudahkan proses dan perjalanan misi ini.

“Kami harap dengan usaha kecil ini dapat menaikkan nama negara yang memberi tumpuan terhadap persahabatan di bawah gagasan 1ASEAN,” katanya.

Beliau menambah, bantuan kewangan bagi mengisi tabung itu boleh dibuat menerusi akaun Maybank di bawah nama Tabung Kemanusiaan Majlis Belia Malaysia bernombor 564025403782.

Bagi sumbangan berbentuk barangan pula, katanya, orang ramai boleh menghantar terus sumbangan ke pejabat MBM di Wisma MBM, No. 1 Jalan Tasik Permaisuri 2, Bandar Tun Razak, dekat sini.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »