MAJLIS Belia Malaysia (MBM) melancarkan pameran galeri maya All About Girls bagi meningkatkan kesedaran berkenaan kesaksamaan wanita dalam kalangan anak muda berusia 15 hingga 30 tahun.
MBM berkata, pameran itu diadakan dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia bertujuan menyediakan ruang selamat kepada anak muda melalui pendekatan kreatif.
“All About Girls bertujuan untuk membincangkan dan berkongsi perspektif berkenaan kesaksamaan gender dan hak wanita,” kata MBM dalam satu kenyataan, sempena majlis pelancaran All About Girls.
Pameran galeri maya itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di bangunan Parlimen, hari ini. Turut hadir, Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.
Sementara itu, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan sentiasa menyokong usaha murni seumpama itu sebagai jaringan sokongan kepada program sedia ada yang mampu memberi impak positif kepada anak muda dan persekitaran sihat selari dengan konsep Malaysia Madani.
“Saya berharap All About Girls dan pelbagai program berimpak di bawah inisiatif MBM dapat diteruskan dan dikembangkan bagi memberi peluang kepada lebih ramai anak-anak diluar sana untuk turut sama dalam membina ruang selamat mereka,” katanya.
Dalam majlis berkenaan, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal itu turut berkesempatan menyampaikan kuntuman bunga kepada tetamu wanita yang hadir sempena Hari Wanita Sedunia.
Untuk rekod, siri bengkel All About Girls sepanjang 2022 itu melibatkan penyertaan sermaai 233 anak muda lelaki dan perempuan di sekitar Lembah Klang serta komuniti Orang Asli di Pahang dan Perak.
Terdapat tiga kategori Bengkel All About Girls yang dilaksanakan iaitu yang pertama siri bengkel merangkumi topik utama antaranya kesaksamaan jantina, keadilan sosial, dinamika jantina dan intersectionality (seperti budaya, agama) dan representasi dalam naratif media.
Para peserta menerima kit fizikal untuk membangunkan karya seni digital dan fizikal (poster, meme, origami) bagi menyatakan idea mereka secara kreatif dan mesej advokasi mengenai topik tersebut.
Bagi kategori kedua pula ialah Collective CanvaS yang dilaksanakan sempena Hari Kanak-kanak Perempuan Antarabangsa.
Dalam kategori ini, sesi pembinaan poster kolaboratif bersama wanita muda dari Malaysia, Brunei, Filipina, dan Morocco di dalam talian bagi mengungkap harapan dan pandangan mereka berkenaan kesedaran dan pemberdayaan kanak-kanak perempuan dan wanita.
Manakala, kategori ketiga pula ialah All About Girls: Lipstick Feminism yang merupakan bengkel solekan yang diminta dan dianjurkan bersama wanita muda Semelai dan Semai di Pahang dan Perak untuk peningkatan keyakinan dan kecekapan sosial mereka.
Pendekatan novel yang menggunakan solekan ini dapat membuka ruang kreatif dan rasa kebersamaan serta membina hubungan bersama komuniti.
Modul kreatif hasil kerjasama penyelidik MBM dan Pensyarah di Kings College London ini berorientasikan pembelajaran interaktif dan penggunaan bahan fizikal dan digital bertujuan untuk mengingkatkan penglibatan peserta muda dan boleh diadaptasi untuk seluruh peringkat umur.
Sehubungan itu, galeri maya All About Girls yang boleh diakses melalui https://belia.org.my/wp/all-about-girls/
Galeri maya ini mempamerkan hasil seni, suara, pengalaman dan pendapat para peserta melalui poster, gif, meme, origami dan video.
Berita penuh :