MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM lancar logo khas pupuk perpaduan belia pelbagai kaum

KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini melancarkan satu logo khas “Youth For Unity” atau “Belia Untuk Perpaduan” bagi memupuk perpaduan dalam kalangan belia pelbagai kaum di negara ini.

Naib Presiden MBM Lim Swee Bok berkata logo tersebut adalah pertama diwujudkan MBM, khas untuk perpaduan sejak negara mencapai kemerdekan 62 tahun lalu, dan percaya golongan belia negara mampu memainkan peranan mereka dalam memelihara keadaan itu.

“Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 dan bagi menzahirkan rasa cinta kepada perpaduan dan keamanan negara, MBM mengambil inisiatif melancarkan logo ini yang membawa maksud anak muda sebagai medium perpaduan kepada semua kaum di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan logo tersebut di Wisma MBM di sini hari ini. Turut hadir Presiden MBM Jufitri Joha, Presiden Majlis Belia Orang Asli, Clive Allen Williams-Hunt dan Presiden Young Malaysian Movement Alex Ng.

Lim yang juga Pengerusi Biro Perpaduan, Integrasi Nasional dan Kepenggunaan MBM berkata logo itu akan digunakan dalam semua program perpaduan yang dianjurkan MBM pada masa akan datang.

— BERNAMA

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »