MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM Lancar Belia Rasuah Busters

SHAH ALAM 26 April – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah melancarkan agenda membanteras rasuah secara habis-habisan dalam kalangan generasi muda melalui Belia Rasuah Busters di Bangunan Karangkraf di sini.

Belia Rasuah Busters dilancarkan semula secara kombinasi fizikal dan maya sebagai sokongan kepada Pasukan Utama Rasuah Busters. Pelancaran ini bukan sahaja melibatkan NGO belia tetapi turut disertai dan didokong oleh sayap-sayap pemuda parti politik yang merupakan pemimpin penting masa kini dan masa hadapan. Kepada bahu merekalah harapan dan aspirasi ini turut dipikulkan.

Belia Rasuah Busters menggalakkan ahli gabungan menggerakkan kempen ini di lokaliti dan kapasiti masing-masing bagi mewujudkan gelombang kesedaran kepada belia dan masyarakat di akar umbi.

Kelompok belia dan pemuda merupakan teras masa depan Negara dan gerakan ini adalah untuk generasi masa depan Negara.

Seramai 40 pemimpin belia utama negara pelbagai kaum dan agama termasuk daripada Sabah dan Sarawak bersolidariti menyertai taklimat yang diadakan secara dalam talian sekaligus menyatakan keprihatinan, ikrar dan komitmen untuk membasmi rasuah mengikut lokaliti dan kemampuan masing-masing.

Sesungguhnya gerakan dan kempen Rasuah Busters yang berpaksikan dan berteraskan nilai ini penting bagi mendidik belia dan masyarakat untuk jijik dan menolak rasuah sekeras-kerasnya. Ia juga berorietasikan gerakan sosial bagi membangkitkan kesedaran berterusan belia dan masyarakat untuk melihat masa depan Negara yang lebih maju dan bebas rasuah.

Untuk itu, MBM telah mengkoordinasikan penubuhan gabungan secara bersahaja (loose coalition) Belia Rasuah Busters bagi mendokong kempen dan gerakan Rasuah Busters.

Antara pimpinan sayap pemuda parti politik yang hadir pada majlis tersebut ialah Exco Pemuda Pas, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai; Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin dan Naib Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Siti Rahayu Baharin. Turut sama menyatakan sokongan ialah Pengerusi Biro Perundangan Armada Bersatu, Mohamad Siddiq Azani dan Ketua Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »