MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM Lahirkan Rasa Simpati dan Takziah atas Tragedi Pesawat Airasia Indonesia QZ8501

Majlis Belia Malaysia (MBM) melahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga penumpang dan anak kapal nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang disahkan terhempas di Selat Karimata Laut Jawa pada 28 Disember 2014.

Tragedi tersebut menimbulkan suasana kesedihan dan reaksi yang bercampur baur kepada pengendali penerbangan, ahli keluarga mangsa penumpang dan anak kapal, media dan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Kejadian ini tentunya amat menyedihkan apatah lagi negara baru sahaja dikejutkan dengan dua tragedi malang membabitkan pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) iaitu MH370 dan MH17 yang menyentap naluri kemanusiaan.

Musibah ini juga menuntut semua masyarakat di rantau ini khususnya dan dunia amnya untuk bersatu dalam memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada usaha mencari dan menyelamat penumpang dan pesawat AirAsia QZ8501 oleh kerajaan Indonesia. Malaysia yang berpengalaman dalam misi seumpana ini, turut terlibat menghantar aset ketenteraan ke Indonesia bagi membantu operasi pencarian pesawat AirAsia QZ8501 di samping beberapa negara lain.

Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah pertama yang telah beroperasi sejak 2001, AirAsia telah memainkan peranan penting di rantau asia dalam memberikan perkhidmatan terbaiknya kepada masyarakat rantau ini dan dunia amnya sekaligus melonjakkan nama asia di persada dunia.

MBM menyeru rakyat Malaysia untuk memberi sokongan padu kepada semua pihak terlibat atas nama persaudaraan dan kemanusian demi menjaga kepentingan dan imej negara. Sokongan ini bertujuan untuk menzahirkan rasa dukacita di atas dugaan yang menimpa mangsa dan ahli keluarga penumpang dan krew pesawat AirAsia QZ8501 supaya kekal kuat dan tabah dalam menghadapi hari-hari sukar ini.

Sekian, terima kasih.

MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE

Presiden Majlis Belia Malaysia

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »